Hampir 37 kampung di Kuala Krai diramal banjir bermula Selasa - JPS

Bernama
Disember 15, 2024 21:53 MYT
Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) mengeluarkan kenyataan amaran itu susulan ramalan hujan berterusan tahap waspada oleh Jabatan Meteorologi semalam. - Gambar fail/Bernama
KOTA BHARU: Hampir 37 kampung yang terletak dalam radius lima kilometer berhampiran beberapa sungai di Kuala Krai dijangka mengalami banjir bermula Selasa hingga Rabu ini.
Sungai berkenaan ialah Sungai Kelantan, Sungai Nal, Sungai Pahi, Sungai Lebir, Sungai Durian, Sungai Pergau, Sungai Salor dan Sungai Tebing.
Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) mengeluarkan kenyataan amaran itu susulan ramalan hujan berterusan tahap waspada oleh Jabatan Meteorologi semalam.
Kenyataan itu memaklumkan lokasi dijangka banjir di kawasan Sungai Kelantan ialah Kampung Sepuluh, Kampung Bukit Arang, Kampung Guchil, Kampung Batu Lada, Kampung Dusun Nyior, Kampung Aur Duri, Kampung Kuala Nal, Kampung Pasir Era, Kampung Ngangoh dan Kampung Enggong.
Di Sungai Nal membabitkan Kampung Batu Jong, Kampung Sungai Pertang, Kampung Pasir Jering, Kampung Pasir Gajah, Kampung Bedal, Kampung Batu Mengkebang/Keroh dan Kampung Bukit Sireh.
"Lokasi dijangka banjir di sekitar Sungai Pahi ialah Kampung Batu Mengkebang, Kampung Pahi, Kampung Gatal, Taman Perisai Wira, Dusun Damar, Kampung Belanga, Kampung Sungai Pas dan Kampung Temalir manakala di sekitar Sungai Durian membabitkan Kampung Sungai Durian dan Kampung Sungai Embak," menurut kenyataan itu.
Di Sungai Lebir pula membabitkan Kampung Tualang, Kampung Bekok, Kampung Manik Urai, Kampung Gajah, Kampung Laloh, Kampung Karangan dan Kampung Manjor manakala kampung dijangka terjejas banjir sekitar Sungai Pergau ialah Kampung Biak, Kampung Pasir Kelang (Sungai Salor) dan Kampung Kenor (Sungai Tebing).
JPS turut memaklumkan banjir yang diramalkan itu boleh berlaku lebih awal atau lewat dari masa dijangkakan.
Amaran berkenaan dikeluarkan bagi membolehkan semua penduduk terutama di kawasan dijangka banjir mengambil langkah waspada serta mengikuti arahan pihak berkuasa.
-- BERNAMA
#Kuala Krai #paras air sungai #banjir #Jabatan Pengairan dan Saliran
;