Hampir 3 juta tontonan video pendidikan seks
Harits Asyraf Hasnan
November 6, 2019 16:11 MYT
November 6, 2019 16:11 MYT
Usaha kerajaan mengurangkan jenayah seksual kanak-kanak di Malaysia menunjukkan trend positif apabila jumlah tontonan video pendidikan seks kanak-kanak di medium digital Youtube mencecah 2.79 juta tontonan.
Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Hannah Yeoh berkata, sejak dilancarkan hingga 4 Oktober lalu, video berkenaan mendapat lebih 67,000 tanda suka dan perkongsian.
“Dari segi kadar tontonan di mana kalau video ini berdurasi satu minit, untuk (penonton) yang menghabiskan keseluruhan video adalah 43 peratus dan ini adalah lebih tinggi daripada kadar purata tontonan industri iaitu kira-kira 20 peratus sahaja.
“Jadi, orang lain bila dia buat (video), kadar purata tontonan industri adalah 20 peratus, tetapi video kita, kita lihat 43 peratus. Ia menunjukkan satu trend yang sangat baik selain ia mempunyai 67,000 berkongsi dan menyukainya,” katanya dalam sidang media di lobi Parlimen hari ini.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebelum ini berkata, pendekatan kreatif untuk menyampai dan menyebar luas video pendidikan seks itu menyasarkan tontonan sebanyak 150,000 oleh kanak-kanak berusia tiga hingga ke empat tahun sehingga hujung tahun ini.
Video tersebut dihasilkan melalui usahasama antara kementerian dan Malaysians Against Pornography yang sehingga kini telah menghasilkan empat hingga lima video pendidikan seks untuk kanak-kanak, selain mendapat kerjasama pihak Google.