Hampir 3,000 notis saman pemandu warga asing sejak 1 Nov

Bernama
November 16, 2023 16:20 MYT
Antara kesalahan membabitkan pemandu warga asing ialah tidak mempunyai lesen memandu, kenderaan persendirian dijadikan kenderaan perdagangan dan kesalahan teknikal pada kenderaan. - Gambar fail
PUTRAJAYA: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mengeluarkan 2,665 notis saman terhadap pemandu warga asing atas pelbagai kesalahan sejak pelaksanaan Operasi Khas Bersepadu Kenderaan Perkhidmatan Awam pada 1 Nov lepas.
Pengarah Kanan Penguatkuasa JPJ Datuk Lokman Jamaan berkata sepanjang tempoh operasi itu dilaksanakan di seluruh negara, sebanyak 224,616 kenderaan diperiksa dengan 717 daripadanya disita, manakala 21,327 dikenakan tindakan notis oleh JPJ atas pelbagai kesalahan jalan raya.
"Antara kesalahan membabitkan pemandu warga asing ini tidak mempunyai lesen memandu (CDL), kenderaan persendirian dijadikan kenderaan perdagangan dan kesalahan teknikal pada kenderaan yang dipandu seperti tayar botak," katanya pada sidang media selepas mengetuai operasi khas bersepadu JPJ bersama Jabatan Imigresen di sekitar Putrajaya hari ini.
Mengenai operasi yang bermula 3 pagi hingga 9 pagi itu, Lokman berkata ia dilakukan di sekitar laluan masuk melalui arah Kajang dan Puchong ke Putrajaya dengan tumpuan pemeriksaan adalah kenderaan membawa pekerja.
Beliau berkata sebanyak 21 kenderaan iaitu 12 bas dan sembilan van pekerja diperiksa dengan 38 notis saman dikeluarkan.
"Empat kenderaan didapati dipandu pemandu warga asing dan enam lagi disita kerana melakukan kesalahan seperti kenderaan persendirian dijadikan kenderaan komersial," katanya sambil menambah pemandu yang tidak mempunyai dokumen diserahkan kepada pihak imigresen untuk tindakan lanjut.
Sementara itu, Ketua Pengarah Imigresen Datuk Ruslin Jusoh dalam kenyataan yang dikeluarkan berhubung operasi sama, berkata sebanyak 377 pendatang tanpa izin dari Bangladesh, Nepal, Myanmar, Indonesia, Pakistan, India dan Sri Lanka berusia antara 25 dan 55 tahun ditahan.
Beliau berkata mereka dikesan tidak memiliki dokumen pengenalan diri, tinggal lebih masa dan lain-lain kesalahan yang melanggar Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.
Menurutnya kesemua mereka ditempatkan di Depot Imigresen Semenyih, Selangor untuk tujuan siasatan dan tindakan lanjut.
-- BERNAMA
#JPJ #pemandu warga asing #Singapura #kesalahan lalu lintas
;