Hampir 3,000 babi akan dilupus di Sabah untuk halang penularan ASF
Syah Hairizal Kamalul Arifin
Februari 28, 2021 16:57 MYT
Februari 28, 2021 16:57 MYT
KOTA KINABALU: Hampir 3,000 ekor babi akan dilupuskan bagi menghalang penularan Demam Babi Afrika (ASF) di Sabah.
Timbalan Ketua Menteri yang juga Menteri Pertanian dan Perikanan Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan berkata jumlah tersebut dikesan di daerah Pitas dan sebanyak 22 ekor babi telah dilupuskan dalam fasa pertama.
"Akan ada lebih banyak lagi babi yang akan dilupus termasuk babi liar dan terbiar di daerah itu supaya wabak ini tidak menular ke daerah berdekatan.
"Dianggarkan terdapat sekitar 2,000 ekor babi di Pitas dan terdapat hampir 1,000 ekor babi liar dalam radius 50 kilometer dari pusat penternakan babi sedia ada.
"Sebagai langkah pencegahan Jabatan Perkhismatan Veterinar telah menjalankan kempen kesedaran di 25 buah kampung dan akan diteruskan di hampir 185 buah kampung lain di daerah itu, selain kempen atas talian," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.
Tambahnya sebanyak 120 lagi sampel telah diambil dari beberapa buah daerah bagi mengesan sekiranya terdapat penularan.
Sampel tersebut diambil dari pusat-pusat sembelihan babi, pusat penjualan babi dan penjual babi bakar.
Jelasnya jika terdapat jangkitan, daerah terlibat akan dikategorikan sebagai kawasan wabak di bawah Akta Haiwan 2015 bagi memudahkan pihak berkuasa menjalankan tugas pembasmian melalui Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah.
"Fokus kita adalah bagi memastikan wabak ini tidak keluar dari Pitas dan sekiranya menular kita akan melakukan yang terbaik bagi membasmi wabak tersebut seterusnya memastikan industri pengeluaran daging babi di negeri ini tidak terjejas," katanya.