Hampir 200,000 benih udang galah dilepaskan di perairan N. Sembilan setakat ini - JPNS
Bernama
Julai 23, 2021 11:57 MYT
Julai 23, 2021 11:57 MYT
SEREMBAN: Sejumlah 195,715 benih udang galah dilepaskan Jabatan Perikanan Negeri Sembilan (JPNS) ke perairan negeri membabitkan kos RM28,310 setakat ini, kata pengarahnya Halimi Abu Hanip.
Beliau berkata aktiviti pelepasan benih yang dilakukan setiap tahun itu membabitkan beberapa sungai utama di Negeri Sembilan dalam usaha menambah sumber perikanan termasuk di Sungai Linggi, Sungai Rembau dan Sungai Muar.
"Lokasi dipilih berkenaan sememangnya habitat udang galah dan ia bertujuan memperkaya dan memulihara sumber udang galah asli warisan negara.
"Ia juga sekali gus memberi manfaat kepada penduduk setempat khususnya nelayan dan pemancing selain membantu pengeluar benih udang galah tersebut yang terkesan akibat penularan pandemik COVID-19 melalui pembelian benih oleh JPNS," katanya kepada Bernama di sini hari ini.
Beliau berkata saiz anak udang galah dilepaskan ke perairan adalah sekitar satu inci bagi memastikan kadar kelangsungan hidupnya lebih tinggi yang mana program pelepasan itu turut mendapat kerjasama beberapa agensi termasuk Jabatan Pengairan dan Saliran negeri.
Dalam pada itu, Halimi berkata JPNS menyasarkan sekurang-kurangnya 300,000 benih udang galah dilepaskan di perairan Negeri Sembilan pada tahun ini bagi memastikan stok udang galah sentiasa berterusan di habitatnya.
Katanya, spesies bernilai tinggi ini juga giat diternak dalam industri akuakultur atas permintaan menggalakkan, khususnya bagi tujuan perikanan rekreasi.
Bagaimanapun, jelasnya pasaran penternakan udang itu mengalami kemerosotan drastik dan cukup meresahkan kira-kira 50 penternak akibat pandemik COVID-19 sekali gus membimbangkan JPNS yang komited untuk menjadikan Negeri Sembilan sebagai lembah penternakan udang galah negara.
Halimi berkata selain udang galah, pihaknya turut aktif melepaskan ikan asli tempatan dan setakat bulan ini hampir 150,000 ikan seperti lampam sungai, kelah, tapah, sebarau dan baung dilepaskan ke perairan sungai dan tasik di segenap negeri ini.
Menurutnya, populasi udang galah dan ikan di perairan sungai di negeri ini semakin baik menerusi program pelepasan benih yang giat dijalankan JPNS selain turut mendapat maklum balas positif daripada nelayan darat dan komuniti setempat.
Beliau turut menegaskan supaya orang ramai tidak melakukan aktiviti meracun, tuba dan menggunakan kejutan elektrik untuk menangkap hidupan air itu kerana ia merosakkan ekosistem dan sumber perikanan selain boleh dikenakan hukuman denda maksimum RM 20,000 atau dua tahun penjara atau kedua-duanya sekali di bawah Kaedah-Kaedah Perikanan (Sungai) 1976 Negeri Sembilan.
-- BERNAMA