Hampir 20 buah kampung di Pasir Mas dijangka alami banjir Jumaat ini - JPS

Bernama
November 20, 2024 20:29 MYT
PRABN dalam kenyataan hari ini memaklumkan amaran itu dikeluarkan 3.30 petang tadi susulan hujan berterusan sejak semalam selain status aras air sungai yang diramalkan naik melebihi paras bahaya. - Gambar fail/BERNAMA
KOTA BHARU: Pusat Ramalan dan Amaran Banjir Negara (PRABN) Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) meramalkan hampir 20 buah kampung yang berada di kawasan rendah dalam lingkungan lima kilometer dari Sungai Golok yang bersempadan Malaysia-Thailand dijangka mengalami banjir bermula Jumaat hingga Ahad ini.
PRABN dalam kenyataan hari ini memaklumkan amaran itu dikeluarkan 3.30 petang tadi susulan hujan berterusan sejak semalam selain status aras air sungai yang diramalkan naik melebihi paras bahaya.
"Antara kampung (Kg) yang terlibat ialah Kg Kubang Rambutan, Kg Kubang Tok Deh, Kg Tersang, Kg Baroh Pial, Kg Kubang Pak Hitam, Kg Siput, Kg Kedai Lama dan Kg Lubok Gong.
"Selain itu, Kg Kok Pauh, Kg Tok Rusa, Kg Banggol Sepuleh, Kg Kalor, Kg Lanchang, Kg Gual Nibung, Kg Banggol, Kg Padang Licin, Kg Serongga, Kg Tok Derpah dan Kg Gual Periok juga dijangka mengalami keadaan sama," kata PRABN.
Banjir yang diramalkan itu boleh berlaku lebih awal atau lewat dari masa yang dijangkakan bergantung kepada keadaan hujan yang signifikan berlaku di kawasan berkenaan, mengikut kenyataan itu.
Amaran PRABN dikeluarkan bagi membolehkan semua penduduk terutama di kawasan yang dijangka banjir berwaspada dan mematuhi arahan pihak berkuasa atau pengurusan bencana banjir.
-- BERNAMA
#JPS #banjir #kampung #Pasir Mas
;