Hampir 2 minggu hilang, rangka lelaki ditemui bersama motosikal dalam semak

Adie Sufian Zulkefli
Disember 13, 2023 18:34 MYT
Mangsa dipercayai terbabas berdasarkan kesan tayar motosikal pada tebing tanah yang menuju ke arah semak terbabit. - Gambar/ PDRM
BANDAR BAHARU: Rangka seorang lelaki yang dilaporkan hilang sejak 30 November lalu ditemukan bersama sebuah motosikal di dalam semak di tepi jalan di Bukit Aping, di sini pada Rabu.
Ketua Polis Daerah Bandar Baharu, Deputi Superintenden Azmi Mokhtar berkata, rangka itu ditemukan oleh beberapa pekerja kontraktor pembersihan yang melakukan kerja penyelenggaraan di kawasan berkenaan pada jam 8.45 pagi.
“Pekerja terbabit pada mulanya menemukan motosikal itu ketika melakukan kerja-kerja pembersihan semak mengunakan jengkaut.
“Kemudia dia pergi ke arah motosikal berkenaan sebelum menemukan rangka manusia kira-kira 20 meter daripada motosikal itu, lalu dia segera menghubungi polis.
“Pemeriksaan lanjut mendapati nombor pendaftaran motosikal itu sama seperti motosikal yang dinaiki oleh individu yang dilaporkan hilang oleh keluarganya pada hujung bulan lalu,” katanya ketika dihubungi Astro AWANI hari ini.
Azmi berkata, pemeriksaan di tempat kejadian mendapati mangsa dipercayai terbabas berdasarkan kesan tayar motosikal pada tebing tanah yang menuju ke arah semak terbabit.
“Pasukan forensik melakukan pemeriksaan lanjut dan ahli keluarga mangsa turut mengesahkan mayat mangsa menerusi pakaian yang ditemui pada rangka manusia itu milik ahli keluarga mereka yang hilang sejak 13 hari lalu.
“Namun polis akan menjalankan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) untuk mengesahkan identiti seenar mangsa dan rangka manusia itu di hantar ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) Alor Setar untuk bedah siasat,” katanya.
Hujung bulan lalu, seorang lelaki dikenali sebagai J. Mizan dari Alor Pongsu, Perak yang menaiki motosikal jenis Yamaha Y15 dilaporkan hilang selepas keluar ke tempat kerja di Kulim dan tidak pulang ke rumah.
#kemalangan motosikal #Kulim #terbabas dalam semak #rangka manusia
;