Hampir 2 juta pekerja asing sementara digajikan setakat September 2016

Israr Khalid
November 10, 2016 17:01 MYT
Menurut TPM lagi, Kelulusan pengambilan pekerja asing semasa adalah berdasarkan kepada keperluan sebenar majikan semasa permohonan. - Foto AFP
Seramai 1,854,684 pekerja asing direkodkan memegang Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) setakat September tahun ini, maklum Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Beliau yang juga Menteri Dalam Negeri memaklumkan, jumlah tersebut mewakili pekerja asing yang digaji secara sah dan memegang PLKS yang dikeluarkan Jabatan Imigresen Malaysia.
Kata Ahmad Zahid, penggajian pekerja asing adalah langkah sementara untuk menampung kekosongan jawatan dan akan diarah pulang ke negara asal masing-masing apabila tamat tempoh penggajian.
“Kelulusan pengambilan pekerja asing semasa adalah berdasarkan kepada keperluan sebenar majikan semasa permohonan.
“Ia kemudian akan dinilai mengikut kelayakan serta kemampuan setiap majikan untuk mematuhi peraturan yang ditetapkan kerajaan seperti memberi keutamaan pekerjaan kepada rakyat tempatan terlebih dahulu,” katanya menerusi jawapan bertulis kepada soalan Ahli Parlimen (DAP) Segambut, Lim Lip Eng.
Lim ingin tahu polisi pengambilan pekerja asing, bilangan mereka yang berada di Malaysia mengikut nama negara mereka serta caj-caj yang dikenakan.
Setakat 30 September 2016, pekerja asing dari Indonesia mencatatkan jumlah tertinggi iaitu 749,266, diikuti Nepal (411,364), Bangladesh (237,991), Myanmar (140,259), India (121,430) dan lain-lain (194,374).
Dalam pada itu beliau turut menjelaskan antara caj yang dikenakan untuk pengambilan pekerja asing adalah levi mengikut sektor yang diklusterkan mengikut dua kategori.
“Kategori satu terdiri daripada sektor perkilangan, pembinaan dan perkhidmatan dengan kadar levi sebanyak RM1,850 sementara kategori kedua merangkumi sektor perladangan dan pertanian dengan kadar levi sebanyak RM640.
“Bagi sektor informal Pembantu Rumah Asing kadar levi yang dikenakan adalah sebanyak RM410,” jelasnya.
Kata Zahid, kerajaan pada 19 Februari 2016 telah memutuskan untuk menangguhkan semua permohonan pengambilan pekerja asing baharu termasuk pekerja warga bangladesh sehingga kerajaan berpuas hati dengan keperluan sebenar oleh pihak industri.
#ahmad zahid #Ahmad Zahid Hamid #pekerja asing #PLKS #Timbalan Perdana Menteri
;