Hampir 2,000 penumpang feri Langkawi terkandas akibat cuaca buruk

Adie Sufian Zulkefli
Julai 28, 2024 18:25 MYT
Gambar kiri: Sebuah feri berhadapan ombak setinggi empat meter semalam. Gambar kanan: Pengumuman pembatalan perjalanan feri di Kuala Kedah hari ini.
KUALA KEDAH: Sebanyak lapan perjalanan feri Kuala Kedah-Langkawi terpaksa dibatalkan hari ini akibat cuaca buruk termasuk ombak setinggi empat meter, mengakibatkan seramai 1,926 penumpang terkandas
Pengurus Operasi Konsortium Ferry Line Ventures Sdn Bhd, Leftenan Komander (B) Norhafiz Abdul Wahid berkata, jumlah itu membabitkan empat perjalanan feri dari Kuala Kedah ke Langkawi dan empat lagi dari Langkawi ke Kuala Kedah.
Beliau berkata, hanya dua perjalanan masing-masing satu dari Kuala Kedah dan Langkawi berjaya meneruskan perjalanan pada jam 7 dan 7.30 pagi tadi.
Katanya, jumlah penumpang yang terkandas adalah seramai 1,030 penumpang dari Langkawi ke Kuala Kedah dan 896 penumpang dari Kuala Kedah ke Langkawi.
"Pembatalan perjalanan itu membabitkan dari Kuala Kedah ke Langkawi (546 penumpang), trip jam 1.30 petang dari Pulau Langkawi ke Kuala Kedah pada jam 2.30 petang (271 penumpang) manakala trip dari Kuala Kedah pada jam 3.30 petang (147 penumpang.
"Selain itu, perjalanan dari Pulau Langkawi ke Kuala Kedah pada jam 4.30 petang (345 penumpang), trip dari Kuala Kedah ke Langkawi pada jam 5.30 petang (127 penumpang), trip dari Pulau Langkawi pada jam 7 petang (155 penumpang) dan 7.30 malam dari Kuala Kedah seramai 76 penumpang.
"Kita terpaksa mengambil keputusan ini demi keselamatan semua pihak," katanya kepada Astro AWANI hari ini.
Beliau berkata, pihaknya dimaklumkan, ombak setinggi kira-kira empat meter manakala kelajuan angin pula sekitar 16 hingga 18 knots yang boleh membahayakan perjalanan feri dan bot kecil.
Astro AWANI sebelum ini melaporkan, sebuah feri membawa 259 penumpang dari Langkawi ke Kuala Kedah terpaksa berpatah balik tengah hari tadi disebabkan cuaca buruk.
BACA: Ombak 4 meter, feri bawa 259 penumpang dari Langkawi terpaksa patah balik
Sementara itu, pelancong dari Sepanyol, Alejandra Conoura, 48, berkata dia terkejut apabila dimaklumkan feri yang sepatutnya dinaiki bersama pasangannya pada jam 3 petang hari ini terpaksa dibatalkan disebabkan cuaca buruk.
Katanya, disebabkan keadaan itu, dia terpaksa berpatah balik mencari tempat penginapan sementara menunggu untuk meneruskan perjalanan ke Langkawi esok.
"Kami berharap cuaca bertambah baik esok dan membolehkan kami ke Langkawi esok. Jika keadaan tidak berubah kami mungkin akan cuba menaiki feri dari Kuala Perlis," katanya.
Sementara itu, Muhammad Fahim Naifal, berkata dia agak kecewa kerana perjalanan hari ini dibatalkan namun reda kerana tindakan itu terpaksa diambil demi keselamatan semua pihak termasuk penumpang sendiri.
"Lama juga kami tunggu untuk masuk sebelum melihat pengumuman memberitahu perjalanan dibatalkan. Terganggulah juga perjalanan saya untuk melancong tapi nak buat macam mana perkara ini di luar kawalan," katanya.
#feri langkawi #cuaca buruk #batal perjalanan #jadual feri #ombak besar
;