Hampir 2,000 pelajar catat sejarah dalam Malaysia Book of Records

Bernama
Mac 11, 2017 07:38 MYT
Seramai 1,958 murid daripada 30 sekolah rendah di Lembah Klang menikmati lebih kurang 3,000 pastil Chewies Immunolicious bagi mencipta rekod Malaysia Book of Records tersebut. - Foto Bernama
Hampir 2,000 pelajar daripada 32 sekolah rendah sekitar Lembah Klang mencatat sejarah dalam Malaysia Book of Records (MBOR) menerusi "Penyertaan Paling Ramai Bagi Sesi Pengambilan Pastil Penggalak Imuniti" pada Sabtu.
Kanak-kanak yang berumur antara lima hingga 12 tahun itu mencatat rekod berkenaan dengan mengambil lebih 3,000 pastil Chewies Immunolicious secara serentak di sini.
Rekod tersebut adalah yang pertama dicatat di bawah kategori Pencapaian Manusia MBOR.
Sijil MBOR itu diserahkan kepada Ketua Pegawai Eksekutif AJ Research & Pharma Sdn Bhd, Javed Ghulam Muhammad oleh Penolong Pengurus Analisis, Kajian dan Pemasaran MBOR Ayman Izaaz.
Javed Ghulam berkata rekod berkenaan dibuat bertujuan mendidik ibu bapa tentang kepentingan membina sistem imun yang kuat untuk kesihatan anak-anak melalui pengambilan makanan.
"Bagi melindungi anak-anak daripada kuman dan mengukuhkan sistem pertahanan pertama tubuh, ibu bapa perlu melengkapkan rutin harian dengan mengambil penggalak sistem imun," katanya pada program tersebut. -- Bernama
#Malaysia Book of Records #mbor #Pengambilan Pastil
;