Hampir 100 motosikal disita dalam operasi samseng jalanan di Pulau Pinang
Sinar Harian
Julai 13, 2024 12:45 MYT
Julai 13, 2024 12:45 MYT
GEORGE TOWN: Sebanyak 250 motosikal dan dua kereta diperiksa dalam operasi khas bersepadu samseng jalanan berdekatan kawasan Rehat dan Rawat Lebuhraya Lingkaran Luar Butterworth (BORR) pada Sabtu.
Operasi tersebut dijalankan oleh polis dari Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kontinjen Pulau Pinang dan JSPT Bukit Aman.
Ia turut melibatkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Jabatan Alam Sekitar (JAS), Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), Jabatan Imigresen Malaysia dan Polis Bantuan PLUS Berhad.
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Hamzah Ahmad berkata, 81 daripada jumlah kenderaan tersebut disita mengikut Seksyen 64(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana pelbagai kesalahan.
Menurutnya, polis turut mengeluarkan 114 keping saman dalam operasi tersebut.
"Operasi bermula pada jam 1.30 pagi hingga 10 pagi di Lebuhraya BORR dengan melibatkan kekuatan seramai 13 pegawai dan 89 anggota dari JSPT Kontinjen Pulau Pinang dan JSPT Bukit Aman, bersama lima anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah dan lima anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik.
"Operasi bertujuan mencegah aktiviti samseng jalanan seperti lumba haram selain memastikan pengguna jalan raya sentiasa mematuhi peraturan yang telah ditetapkan bagi mengurangkan risiko berlakunya kemalangan jalan raya," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Hamzah menambah, selain polis, pihak JPJ juga mengeluarkan 245 notis pemeriksaan kenderaan di bawah Seksyen 61 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 selain menyita 20 motosikal.
"Pihak JAS Pulau Pinang turut mengeluarkan dua kompaun dan dua notis arahan di bawah Akta Kualiti Alam Sekitar (AKAS) 1974.
"AADK menjalankan ujian saringan air kencing ke atas 98 individu dan hasilnya, sembilan daripada mereka positif pelbagai jenis dadah," katanya lagi.
Jelas beliau, kolaborasi pelbagai agensi yang terlibat dalam operasi seperti itu merupakan langkah proaktif untuk mencegah samseng jalanan secara berterusan bagi membanteras kegiatan lumba haram dan samseng jalanan.
"PDRM Kontinjen Pulau Pinang sangat komited menjalankan program advokasi bagi melahirkan generasi pengguna jalan raya yang sentiasa patuh kepada peraturan dan undang-undang jalan raya.
"Oleh itu, orang ramai khususnya golongan remaja diingatkan agar tidak terlibat dalam aktiviti lumba haram atau apa sahaja aktiviti samseng jalanan yang boleh mengancam nyawa diri sendiri dan orang lain," tambahnya lagi. - Sinar Harian