Hampir 10 kawasan berisiko runtuh di Kuala Balah
Bernama
Februari 12, 2024 07:15 MYT
Februari 12, 2024 07:15 MYT
JELI: Hampir 10 kawasan di Kuala Balah, di sini, dikenal pasti berisiko runtuh melibatkan tebing sungai dan jalan raya terutama ketika hujan lebat.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Balah, Datuk Abdul Hadi Awang Kechil berkata, antara kawasan terbabit adalah Kampung Kubur Datu, Kampung Janggut Seberang, Kampung Lubok Bongor, Kampung Bukit Selar dan Kampung Jerimbong.
"Kita akan sentiasa pantau dari semasa ke semasa setiap kawasan yang berisiko runtuh ini kerana kita tidak mahu ia mengancam nyawa dan keselamatan penduduk setempat.
"Oleh itu, kita juga harap pihak kerajaan mempunyai peruntukan khas dan perancangan jangka panjang untuk kawasan yang berisiko bukan sahaja di kawasan ini tetapi di tempat lain juga," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan Majlis Keraian Petugas Sukarelawan Agensi Kerajaan yang terlibat menangani krisis tanah runtuh Lata Janggut Seberang, di sini, pada Isnin.
Mengulas lanjut, Abdul Hadi berkata, projek selenggara tebing runtuh di Kampung Lata Janggut Seberang sudah siap hampir 60 peratus merangkumi jalan konkrit sepanjang 130 meter.
"Runtuhan tebing ini berlaku pada 29 Dis lepas sewaktu musim tengkujuh hingga menyebabkan lebih 200 penduduk terputus hubungan.
"Kita jangka kerja-kerja selenggara tebing runtuh ini siap dalam tempoh dua minggu lagi namun ia bergantung juga pada keadaan cuaca," katanya.
Sementara itu, Penghulu Mukim Sungai Long, Wan Azman Wan Musa berkata, walaupun pembinaan dan selenggara tebing runtuh terbabit belum siap sepenuhnya tetapi ia telah memberi kelegaan kepada penduduk yang dapat menggunakan kemudahan jalan konkrit disediakan. - BERNAMA