Hampir 10 hari terputus, bekalan air di Labuan pulih mulai hari ini

Astro Awani
Julai 16, 2020 15:52 MYT
Muhammad Zulkeflee menjelaskan, gangguan bekalan air di Labuan akan pulih sepenuhnya pada Ahad ini.
Selepas hampir dua minggu, penduduk di Wilayah Persekutuan Labuan kini boleh tarik nafas lega apabila gangguan bekalan air yang melanda pulau itu berakhir.
Pengarah Jabatan Air Labuan, Muhammad Zulkeflee Yusof berkata, setakat hari ini, 70 peratus bekalan air sudah disalurkan kepada penduduk di pulau bebas cukai itu.
Menurutnya, pihaknya menjangkakan bekalan air kembali pulih sepenuhnya pada 19 Julai ini iaitu Ahad.
"Untuk makluman masalah ini berpunca daripada paip pam di Jalan Enoe yang pecah. Bagaimanapun segala kerja pembaikan dan penambahbaikan dilakukan pada 14 Julai lalu.
"Waktu ini kita sedang melakukan proses pengepaman dan kawasan yang mengalami gangguan bekalan akan mendapat bekalan air secara berperingkat mulai hari ini selain pulih sepenuhnya Ahad ini," katanya ketika ditemui Astro AWANI pada Khamis.
Tambahnya, dalam tempoh gangguan itu, pihak Jabatan Bekalan Air Labuan telah menempatkan 45 tangki di lokasi terpilih di 33 lokasi yang terjejas.
Ditanya mengenai tempoh baik pulih yang mengambil masa yang lama, Muhammad Zulkeflee menjelaskan, ia didorong oleh empat faktor.
Katanya, pertama kedudukan kedalaman paip; terdapat utiliti lain bersebelahan seperti kabel Sabah Electricity Sdn Bhd dan TM; lokasi paip selain keadaan cuaca yang hujan.
"Bagaimanapun, ini tidak boleh dijadikan alasan. Pihak kami bersama kontraktor dilantik berbincang dengan pihak berkepentingan termasuk meminta bantuan Petronas Methanol Labuan dari kimpalan.
"Susulan insiden ini, saya akan berbincang dengan ibu pejabat bagi mencari penyelesaian jangka panjang sekiranya keadaan ini berulang," katanya.
Muhammad Zulkeflee berharap, penduduk Labuan diminta sentiasa memantau dan memastikan pili air tertutup bagi mengelak pembaziran selain mengakibatkan peningkatan jumlah bil.
#air #bekalan air #gangguan bekalan air #Labuan #Muhammad Zulkeflee Yusof #paip pecah #Pengarah Jabatan Bekalan Air #Pulau Labuan #Wilayah Persekutuan Labuan
;