Hampir 10,000 sertai Larian Hari Keputeraan Sultan Nazrin Shah
Aida Aziz
Oktober 30, 2022 08:45 MYT
Oktober 30, 2022 08:45 MYT
KUALA KANGSAR: Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenaan bersama-sama hampir 10,000 orang menyertai Larian Hari Keputeraan Sultan Nazrin Shah (LHKSNS) 2022, di Dataran Pavillion di sini hari ini.
Turut berangkat pada larian itu, puteri Sultan Perak, Raja Nazira Safya.
Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim, barisan Exco negeri dan Ketua Polis Perak, Datuk Mohd Yusri Hassan Basri.
Sultan Nazrin turut berkenan melakukan pelepasan peserta larian pada 6.45 pagi membabitkan kategori 15 kilometer (km) dengan 5,289 peserta manakala 10km pula, 3,124 peserta.
Pelepasan kategori tetamu kehormat yang membabitkan jarak 2.5km dilakukan oleh adinda Sultan Nazrin, Raja Datuk Seri Yong Sofia.
Sebelum berangkat pulang, baginda turut berkenan ke majlis jamuan santapan dan upacara penyampaian hadiah.
Program hari ini dilaksanakan sempena sambutan Hari Keputeraan Sultan Perak yang ke-66 pada 4 November.
Penganjuran itu juga merupakan kesinambungan yang diteruskan setelah dua tahun tertangguh susulan penularan wabak COVID-19.
Program ini telah memasuki edisi yang ke-10 dengan tema yang diperkenalkan tahun ini adalah 'Koleksi Bangunan Ikonik sekitar Kuala Kangsar'.
Konsep LHKSNS ini masih lagi mengekalkan keunikannya tersendiri dan akan disusuli dengan pelbagai acara sampingan.
Para peserta juga akan disajikan dengan makanan tradisional bercirikan keunikan budaya pelbagai kaum di Kuala Kangsar.
Selain itu, di sepanjang laluan larian, para peserta akan melalui kawasan kampung, di mana mereka akan merasai pengalaman dan suasana desa di sekitar Kuala Kangsar.