Hampir 1 juta pelancong lawat Sabah dalam lima bulan pertama 2023

Radhi Muslim
Ogos 6, 2023 08:40 MYT
Sejak Januari hingga Jun 2023 sahaja, seramai 56,794 orang membabitkan 28,501 pelancong domestik dan 28,293 pelancong antarabangsa yang datang ke pusat berkenaan sekali gus boleh dijadikan indikator atau penunjuk jumlah pelancong ke Sabah.
SANDAKAN: Sabah mencatatkan seramai 988,680 ketibaan pelancong dari dalam dan luar negara bagi tempoh lima bulan pertama tahun ini sehingga Mei, meningkat kira-kira 77.1 peratus berbanding 558,169 pelawat bagi tempoh yang sama, pada tahun lalu.
Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, angka berkenaan jelas membuktikan sektor pelancongan di Sabah terus menunjukkan pertumbuhan kukuh untuk tahun ini dan masa-masa akan datang.
Sehubungan itu, beliau memberi jaminan kerajaan negeri akan terus berusaha untuk memulih dan membangunkan sektor pelancongan melalui pelbagai program pada tahun ini.
"Pembukaan semula pintu-pintu masuk sempadan negara telah memberi impak positif dan menggalakkan pemulihan sektor pelancongan negeri Sabah.
“Daripada 988,680 pelawat yang datang, seramai 282,450 adalah pelancong antarabangsa manakala 706,230 pelawat tempatan. Anggaran penerimaan pelancongan sebanyak RM2.02 bilion dijana dari Januari hingga Mei 2023.
“Pada tahun ini, kerajaan negeri menjangkakan ketibaan seramai 2.2 juta pelancong ke Sabah, yang dijangka berupaya menjana pendapatan sebanyak RM4.1 bilion,” katanya sempena Pelancaran Festival Sandakan di Padang Bandaran Sandakan, di sini, pada Sabtu, malam.
Teks ucapan beliau dibacakan oleh Timbalan Ketua Menteri I yang juga Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri, Datuk Seri Jeffrey G. Datuk Kitingan.
Justeru, katanya, kerajaan negeri komited merancakkan lagi pelaksanaan pelbagai inisiatif dan program pelancongan yang inklusif terutama promosi pelancongan dan pengembangan jaringan rangkaian udara.
“Pelbagai usaha diambil adalah ke arah menjadikan Sabah sebagai destinasi pelancongan paling menarik di Malaysia, sama ada untuk pelancong domestik atau lebih-lebih lagi untuk para pelancong dari luar negara.
"Setakat 1 Ogos 2023, sebanyak 122 penerbangan antarabangsa ke Sabah setiap minggu, manakala 353 penerbangan domestik," katanya.
Mengulas mengenai festival itu, Ketua Menteri berkata, Festival Sandakan 2023 bertemakan “Jom Jelajah Sandakan” diberi perhatian dan keutamaan sebagai antara usaha untuk menarik kembali kedatangan pelancong ke Sabah, selepas pandemik COVID-19 melanda seluruh dunia lebih dua tahun lalu.
Katanya, sokongan padu daripada Kementerian Pelancongan, Kebudayaan, dan Alam Sekitar Negeri dan Lembaga Pelancongan Sabah, membuktikan bahawa kerajaan sentiasa memberikan komitmen dan sokongan yang padu khusus untuk memajukan industri pelancongan di negeri ini.
“Sandakan sendiri mempunyai banyak destinasi pelancongan yang dikenali bukan saja pelancong tempatan malah antarabangsa.
"Daerah ini terkenal sebagai pintu masuk ke destinasi-destinasi eko-pelancongan di Sabah contohnya, Sungai Kinabatangan, Gua Gomantong, Pusat Pemuliharaan Orang Utan Sepilok dan Taman Pulau Penyu serta Borneon Sun Bear Conservation Centre, Labuk Bay Proboscis Monkey Santuary, Sandakan Heritage Trails, Sandakan Memorial Park dan Puh Jih Shih Temple,” katanya.
Walaupun ketika ini tiada data ketibaan pelawat mengikut daerah tersedia, Hajiji berkata, bilangan pengunjung di Pusat Pemuliharaan Orang Utan Sepilok sebagai tarikan utama di Sandakan boleh dijadikan indikator atau penunjuk.
“Sejak Januari hingga Jun 2023, seramai 56,794 orang membabitkan 28,501 pelancong domestik dan 28,293 pelancong antarabangsa yang datang ke pusat berkenaan,” jelas beliau.
“Justeru, saya menyeru kepada seluruh warga Sandakan untuk terus memberi sokongan penuh agar festival pada tahun ini akan menjadi titik tolak bermulanya transformasi terhadap industri pelancongan di daerah ini.
“Saya juga mengajak semua pemain-pemain industri pelancongan, usahawan, penggiat seni, budaya dan sukan, badan bukan kerajaan (NGO), jabatan serta agensi kerajaan memainkan peranan masing-masing agar matlamat untuk menjadikan Sandakan sebagai destinasi pelancongan pilihan ramai,” kata beliau lagi.
Sejajar dengan itu, Ketua Menteri mahu Majlis Perbandaran Sandakan dan semua pihak yang berkaitan agar melipat gandakan usaha dalam menambahbaik infrastruktur serta kemudahan yang ada di daerah ini termasuk kebersihan antara perkara yang perlu diberi perhatian serius.
#pelancong #Sabah #pelancong lawat Sabah meningkat #Ketua Menteri Sabah
;