Hampir 1,000 masyarakat Orang Asli di Pos Gob perlu bekalan elektrik
Vivi Sumanti
Mac 25, 2021 09:36 MYT
Mac 25, 2021 09:36 MYT
GUA MUSANG: “Kami perlu bekalan elektrik. Hidup kami masih terpinggir,”.
Demikian rata-rata luahan penduduk Orang Asli suku Temiar, di Pos Gob, Gua Musang, Kelantan, yang tidak menerima kemudahan asas itu sejak puluhan tahun.
Masalah ketiadaan bekalan elektrik menjejaskan hampir 1,000 penduduk di 12 perkampungan di Pos Gob itu, malah secara purata mereka terpaksa membelanjakan ratusan ringgit setiap bulan untuk membeli lilin bagi menerangi malam.
Mereka juga tidak boleh melakukan banyak aktiviti pada waktu malam terutama bagi golongan muda yang mahu mengulang kaji pelajaran.
Menurut Tok Batin Pos Gob, Leman Alang, mereka masih menunggu kerajaan atau pihak berkuasa membekalkan elektrik di kawasan itu.
"Bekalan elektrik amat penting buat kami, jika ada bekalan elektrik kami boleh menyimpan makanan dan ubat-ubat yang dibekalkan dengan lebih lama dan dapat memudahkan urusan penduduk terutama bagi bayi dan kaum wanita," katanya.
Sementara itu, Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung Orang Asli (MPKKOA) Pos Gob, Disman Anggah berharap masalah bekalan elektrik dapat diselesaikan segera.
"Sekiranya bekalan elektrik dapat disalurkan ke kawasan ini, ekonomi masyarakat dapat dibangunkan melalui aktiviti pelancongan kerana kawasan ini kaya dengan khazanah alam semula jadi yang indah dan memukau," katanya.
Mengulas lanjut, Disman berkata bekalan elektrik juga dapat dimanafaatkan oleh anak-anak Orang Asli di kawasan itu untuk meningkatkan taraf pendidikan.
Katanya, sebelum ini Pusat Transformasi Komuniti Universiti, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) bersama CIMB Islamic membantu masyarakat Orang Asli di situ dengan menubuhkan Pusat Pendidikan Komuniti UKM-CIMB Islamic Pos Gob pada 2017.
"Pada tahun ini, seramai 34 orang pelajar berumur lima hingga sembilan tahun mengikuti pengajian di pusat berkenaan setiap hari yang menekankan kemahiran 3M iaitu membaca, menulis dan mengira.
"Bagaimanapun, disebabkan ketiadaan bekalan elektrik, pengajaran dan pembelajaran hanya dapat dilakukan pada waktu siang di pusat itu. Murid-murid tidak dapat mengulang kaji di rumah," katanya.
Dia berkata, di sebalik kekangan itu, program berkenaan menampakkan kejayaan apabila 50 murid Orang Asli kawasan itu telah kembali ke sekolah aliran perdana sejak 2017.
Katanya, jika mereka menerima bekalan elektrik, dia yakin lebih ramai murid Orang Asli akan memperoleh kejayaan dalam pendidikan.
#Orang Asli
#tiada bekalan elektrik
#Pos Gob
#Gua Musang
#Kelantan
#lilin
#kehidupan terjejas
#pendidikan
#anak orang asli
#sekolah
#kemudahan asas
#Tok Batin