Hamidin mohon menghadap Sultan Selangor

Bernama
Jun 27, 2024 13:30 MYT
Hamidin (foto) bagaimanapun enggan mengulas lanjut mengenai perkara itu, namun akan menjelaskan berhubung kemelut yang melanda bola sepak tanah air pada masa ini. -Gambar fail/Bernama
KUALA LUMPUR: Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Datuk Hamidin Mohd Amin memaklumkan pihaknya sudah menghantar surat untuk memohon menghadap Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah, berhubung 'teguran' daripada baginda, semalam.
Hamidin bagaimanapun enggan mengulas lanjut mengenai perkara itu, namun akan menjelaskan berhubung kemelut yang melanda bola sepak tanah air pada masa ini.
"Saya maklum dengan dukacita Tuanku Sultan Selangor tentang keputusan MFL (Liga Bolasepak Malaysia). Saya telah menghubungi pihak Istana Selangor semalam dan hari ini disusuli dengan warkah surat menghadap Tuanku Sultan Selangor.
"Jadi insya-Allah saya akan cuba selesaikan untuk beri penjelasan (mengenai isu yang berlaku ketika ini)," katanya selepas Majlis Pelancaran Liga Wanita Nasional (LWN) musim 2024 di Lalaport, Bukit Bintang City Centre (BBCC) di sini hari ini.
Semalam, Sultan Sharafuddin menzahirkan rasa amat kecewa dan sangat dukacita dengan keputusan MFL serta ahli FAM khususnya Hamidin, berhubung denda dikenakan terhadap Selangor FC kerana ketidakhadiran pasukan itu ke perlawanan Piala Sumbangsih pada 10 Mei.
Sultan Sharafuddin bertitah baginda amat murka dengan keputusan terbaharu MFL itu, yang dianggap tidak bertanggungjawab, dibuat tanpa ihsan, tidak berperikemanusiaan dan tidak mempamerkan keprihatinan terhadap kezaliman yang berlaku.
#Hamidin Mohd Amin #Sultan Selangor #Sultan Sharafuddin Idris Shah #Presiden FAM
;