Hamid Sultan tarik balik saman terhadap dua peguam
Bernama
Mac 25, 2021 23:17 MYT
Mac 25, 2021 23:17 MYT
KUALA LUMPUR: Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Dr Hamid Sultan Abu Backer telah menarik balik samannya terhadap dua peguam bagi mencabar siasatan Jawatankuasa Etika Hakim (JEC) berhubung dua aduan yang dibangkitkan hakim lain dalam penghakiman beliau.
Datuk Joy Wilson Appukuttan, yang mewakili Hamid Sultan, memaklumkan Bernama bahawa anak guamnya memutuskan untuk menarik balik saman pemula terhadap Sangeet Kaur Deo dan Mohamed Haniff Khatri Abdulla sebagai defendan ketiga dan keempat atas alasan tindakan perundangan itu sudah tidak berguna susulan keputusan JEC menggantung tugas hakim tersebut bermula 4 Feb hingga 27 Ogos 2021.
"Kami telah memaklumkan mahkamah mengenai permohonan kami untuk menarik balik saman pemula terhadap Haniff Khatri dan Sangeet. Mahkamah kemudian membenarkan permohonan kami tanpa perintah mengenai kos dan membatalkan saman pemula itu," katanya selepas pengurusan kes itu menerusi e-Semakan di hadapan Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi Firdaus Sidqi Sharil Azli hari ini.
Ditanya sama ada anak guamnya telah memfailkan rayuan terhadap keputusan JEC menggantung tugas Hamid Sultan, peguam itu berkata beliau belum menerima arahan daripada hakim tersebut.
Pada 4 Feb lepas, JEC yang dipengerusikan Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat telah memutuskan untuk menggantung tugas Hamid Sultan sehingga 27 Ogos 2021.
Keputusan itu dibuat dalam prosiding siasatan yang dijalankan secara tertutup di Istana Kehakiman di Putrajaya.
Siasatan itu diadakan bagi menyiasat dua aduan terhadap Hamid Sultan dengan yang pertama oleh hakim lain berhubung penghakimannya (Hamid Sulltan) sebagai Hakim Mahkamah Rayuan dalam kes Pendakwa Raya menentang Aluma Mark Chinonso & satu lagi.
Aduan kedua adalah berhubung adavit Hamid Sultan untuk menyokong saman pemula yang difailkan Sangeet bagi memohon beberapa deklarasi berhubung keputusan mahkamah dalam rayuan mendiang bapanya, Karpal Singh.
Hamid Sultan menjadi hakim pertama yang digantung tugas sejak Akta Jawatankuasa Etika Hakim 2010 berkuat kuasa.
Pada 9 Okt tahun lepas, Hamid Sultan telah memfailkan saman pemula terhadap empat defendan (JEC, Pengerusi JEC, Sangeet dan Haniff Khatri) berhubung dakwaan bahawa JEC dapat menyiasat penghakiman beliau dan adavitnya bagi menyokong saman pemula yang difailkan Sangeet.
Pada 21 Jan lepas, Mahkamah Tinggi membenarkan permohonan JEC dan pengerusinya untuk membatalkan saman pemula itu.
-- BERNAMA
#Hamid Sultan
#tarik balik balik
#saman
#dua peguam
#JEC
#Jawatankuasa Etika Hakim
#aduan
#saman pemula
#gantung tugas