Hamid perlu buat laporan untuk dapat perlindungan saksi - Muhyiddin
Arfa Yunus, Firdaus Azil
Februari 16, 2019 16:30 MYT
Februari 16, 2019 16:30 MYT
Bekas Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Dr Hamid Sultan Abu Backer perlu membuat laporan polis untuk mendapatkan jaminan perlindungan saksi, kata Menteri Dalam Negeri Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Menurut Muhyiddin, ketika ini Putrajaya masih belum membuat keputusan mengenai perkara itu memandangkan Hamid masih belum membuat laporan polis atau laporan kepada mana-mana pihak berkuasa.
Muhyiddin berkata demikian susulan pendedahan Hamid baru-baru ini yang mendakwa berlakunya salah laku termasuk aktiviti rasuah dalam kalangan hakim-hakim di negara ini.
“Buat masa ini kita tidak sampai ke tahap itu lagi. Beliau sendiri kena buat laporan polis atau mana agensi yang berkepentingan seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
“Kemudian baru kita pertimbangkan kalau ada keperluan dan adakah ia sesuatu yang sangat penting,” katanya dalam sidang media selepas proses penamaan calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Semenyih di sini pada Sabtu.
Hamid dalam afidavitnya setebal 63 muka surat yang difailkan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur baru-baru ini mendedahkan maklumat yang terperinci mengenai campur tangan hakim-hakim atasan untuk memastikan keputusan yang memihak kepada kerajaan.
#bekas hakim
#Hamid Sultan Abu Backer
#jaminan
#laporan
#Muhyiddin Yassin
#perlindungan saksi
#semenyih memilih