Hameediyah sumbang makanan dengan mengimbau nostalgia mengandar nasi
Bernama
Ogos 14, 2021 14:28 MYT
Ogos 14, 2021 14:28 MYT
GEORGE TOWN: Mengimbau warisan zaman dahulu, restoran nasi kandar tertua dalam negara telah mengedarkan 250 bungkus nasi kandar percuma kepada golongan yang memerlukan dengan cara tradisional iaitu secara mengandar.
Dengan membawa dua buah periuk di dalam bakul rotan yang digalas dengan batang kayu, Restoran Hameediyah berjaya membangkitkan nostalgia yang telah lama hilang di negara ini.
Pemilik Restoran Hameediyah, Ahamed Seeni Pakir Abdul Shukor, 66, berkata sumbangan makanan percuma itu bertujuan membantu golongan tidak berkemampuan untuk menikmati makanan ketika pandemik COVID-19 selain dalam masa sama ingin menunjukkan kaedah mengandar kepada generasi muda.
"Dulu, nenek moyang menjual nasi menggunakan kandar sejak penubuhan restoran pada 1907... Sekarang ini anak muda tidak pernah lihat kaedah ini, jadi kita ingin menunjukkannya kepada orang ramai," katanya kepada pemberita selepas mengedarkan bungkusan makanan di sekitar bandar raya George Town kelmarin.
Menurut Ahamed Seeni yang merupakan generasi ketujuh perniagaan Hameediyah itu, kali terakhir budaya menjual nasi dengan cara mengandar adalah pada sekitar era 60-an dan kini budaya itu sudah tiada di Malaysia.
"Satu masa dahulu nasi kandar dibawa ke kawasan perumahan dan dijual di tepi-tepi jalan. Pelanggan boleh makan nasi bersama kari ikan, daging masak hitam, telur rebus dan bendi rebus dengan harga 20 hingga 30 sen sahaja.
"Pada mulanya golongan bawah dan pertengahan yang makan nasi kandar. Tapi lama-kelamaan, semua golongan tanpa mengira kaum turut menikmati nasi kandar kerana tertarik dengan aromanya yang wangi," katanya.
Ahamed Seeni berkata, selain daripada golongan tidak berkemampuan, pihaknya turut mengedarkan makanan kepada orang ramai yang belum mendapat vaksinasi COVID-19 yang rindu menikmati hidangan di restoran itu.
Menurutnya Restoran Hameediyah akan terus melaksanakan usaha murni dengan mengedarkan makanan percuma kepada golongan yang memerlukan bagi mengelakkan mana-mana individu atau keluarga tidur dalam keadaan berlapar.
Antara lauk pauk popular yang boleh didapati di restoran itu ialah kari ayam piru (ayam belanda), ayam masak ros, ayam kapitan dan kaki kambing.
-- BERNAMA
** Setiap Sabtu dan Ahad, AstroAwani.com membawakan artikel santai dan merangkumi pelbagai topik menarik seperti pelancongan, pemotoran, gaya hidup, hobi, kekeluargaan, kesihatan, pengetahuan am, trivia dan banyak lagi. Ikuti #SantaiHujungMinggu !
#nasi kandar
#mengandar nasi
#kandar
#hameediyah
#golongan memerlukan
#sumbangan
#makanan
#tradisional
#weekender