Hamas nafi ahlinya dilatih di Malaysia
Astro Awani
Ogos 2, 2014 15:50 MYT
Ogos 2, 2014 15:50 MYT
Kumpulan Hamas telah menafikan beberapa laporan media Israel yang mendakwa ahli-ahlinya telah dilatih di Malaysia pada menjalankan serangan menggunakan payung terjun berkuasa.
"Ini adalah pembohongan dan pengeliruan yang dibuat oleh Israel dan bertujuan untuk memesongkan imej perpaduan antarabangsa dengan perjuangan kami di waktu kami hadapi jenayah perang dan pembunuhan beramai-ramai oleh mesin perang Zionis," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tuduhan yang tidak berasas, katanya, adalah satu usaha untuk mengalihkan perhatian dunia daripada pembunuhan beramai-ramai yang dilakukan oleh tentera Israel terhadap orang awam kanak-kanak, wanita dan warga tua di Palestin.
Kumpulan itu berkata ia sangat menghargai pendirian berani dan sokongan kemanusiaan yang dijalankan oleh Malaysia untuk rakyat Palestin.
Semalam, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata Malaysia tidak pernah menjalin sebarang kerjasama terutamanya dari segi ketenteraan dengan Hamas atau mana-mana pihak di Palestin.
Menurutnya, setakat ini hubungan dan kerjasama dengan Palestin merupakan hubungan diplomatik, perdagangan, dan kebudayaan sahaja.
Laporan Jerusalem Post mendedahkan seorang pejuang Hamas yang ditahan Israel berkata, dia menerima latihan di Malaysia untuk melancarkan serangan rentas sempadan menggunakan payung terjun berkuasa