Halang tugas dan ugut polis, 7 direman

Dewi Nur Harasha Alias
Januari 19, 2021 13:58 MYT
Kesemua mereka yang berumur antara 23 hingga 45 tahun itu disiasat mengikut Seksyen 353 Kanun Keseksaan iaitu menggunakan kekerasan jenayah bagi menakutkan penjawat awam. - Foto Astro AWANI
GEORGE TOWN: Tujuh lelaki yang menghalang penjawat awam bertugas semasa kejadian kemalangan dua remaja di persimpangan lampu isyarat Tanjung Tokong pada Ahad, direman selama tiga hari bagi membantu siasatan.
Perintah tahanan reman itu dikeluarkan oleh Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Sesyen/Majistret Georgetown, Nur Fadrina Zulkhairi pada Selasa.
Kesemua mereka yang berumur antara 23 hingga 45 tahun itu disiasat mengikut Seksyen 353 Kanun Keseksaan iaitu menggunakan kekerasan jenayah bagi menakutkan penjawat awam menjalankan kewajipan yang sah di sisi undang-undang.
Selain itu, mereka turut disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah dan Peraturan 16 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan (Kawalan Pergerakan) 2021.
Terdahulu, kesemua mereka ditahan di sekitar Jalan Patani dan Tanjong Tokong semalam.
Mereka dipercayai ditahan selepas menggunakan kekerasan terhadap anggota polis semasa mereka menjalankan tugas dengan menolak, mengajak bergaduh dan mengeluarkan kata-kata ugutan terhadap polis ketika kejadian.
Perbuatan itu dilakukan mereka susulan kejadian kemalangan kira-kira jam 5.20 petang Ahad melibatkan dua lelaki yang menaiki motosikal dengan sebuah kereta sehingga mengalami kecederaan parah.
Kemalangan itu berlaku ketika penunggang motosikal terbabit cuba melarikan diri daripada tiga anggota polis Unit Rondaan Bersepadu (URB) yang membuat rondaan di Jalan Pinang.
Malah mereka mendakwa anggota polis telah menendang sebuah motosikal dinaiki dua remaja lelaki sehingga menyebabkan kemalangan serta kecederaan kepada penunggang motosikal terbabit.
Kejadian itu kemudian tular di media sosial yang mengundang pelbagai persepsi terhadap PDRM.
Susulan itu polis turut menjalankan siasatan terhadap hantaran-hantaran di media sosial (Facebook dan Whatsapp) yang didapati tidak tepat dan berbaur fitnah sehingga menjejaskan imej PDRM.
Siasatan di buat di bawah Seksyen 500 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia.
Dalam kejadian petang Ahad lepas, dua remaja parah dalam kemalangan di persimpangan lampu isyarat di Tanjong Tokong.
Insiden itu tular di dalam media sosial apabila warga net menuduh anggota polis sengaja menendang motosikal sehingga mengakibatkan kemalangan serta kecederaan parah kepada dua lelaki.
Bagaimanapun, polis menafikan dakwaan itu dan memaklumkan dua lelaki berkenaan telah melanggar sebuah kereta ketika melarikan diri daripada anggota polis.
#PDRM #halang tugas polis #tujuh direman #Tanjung Tokong #kemalangan dua remaja #persimpangan lampu isyarat
;