Halang pegawai kesihatan buat pemeriksaan Aedes di rumah boleh diambil tindakan

Bernama
Januari 18, 2024 16:49 MYT
Individu yang gagal patuhi arahan itu boleh dikenakan tindakan di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas. - Gambar hiasan
IPOH: Tindakan undang-undang akan dikenakan terhadap mana-mana individu yang tidak membenarkan anggota Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Perak melakukan pemeriksaan di premis atau kediaman disyaki menjadi tempat pembiakan nyamuk Aedes.
Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia, Kesihatan, Hal Ehwal Masyarakat India dan Integrasi Nasional Perak A Sivanesan berkata individu yang gagal mematuhi arahan berkenaan boleh dikenakan tindakan di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas.
"Pegawai kesihatan memiliki lesen untuk masuk ke mana-mana premis yang disyaki menjadi tempat pembiakan nyamuk Aedes, mana-mana (individu) yang tidak mematuhi arahan itu akan dikenakan tindakan undang-undang.
"Jadi, saya harap semua pihak akan beri kerjasama dan kita akan bergerak lebih agresif untuk pastikan wabak denggi ini dapat dibendung," katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Membanteras Denggi peringkat negeri di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini hari ini.
Perak menduduki tangga kelapan selepas merekodkan 4, 516 kes denggi daripada keseluruhan 123,133 kes yang berlaku di negara ini tahun lepas.
Sementara itu, Timbalan Pengarah Kesihatan Negeri (Kesihatan Awam) Dr Feisul Idzwan Mustapha berkata kebun haram serta lot tanah terbiar juga antara lokasi yang menyumbang kepada pembiakan nyamuk Aedes.
Menurutnya hasil pemeriksaan yang dilakukan mendapati lokasi berkenaan bukan sahaja tidak diselenggara dengan baik, malah terdapat banyak perkakas atau peralatan yang menakung air.
"Semasa pemeriksaan dilakukan, mereka tidak letak perkakas ini di tempat yang terlindung daripada hujan dan akibatnya ia menakung air yang memudahkan nyamuk Aedes untuk membiak.
"Saya harap perkara ini diberikan penekanan dan kita minta semua pihak tidak ambil mudah tentang penyakit berbahaya ini," katanya.
-- BERNAMA
#pegawai kesihatan #aedes #pemeriksaan #halang tugas
;