Halang laluan ambulans di lorong kecemasan, 23 pemandu didakwa

Astro Awani
Julai 18, 2016 16:43 MYT
Lorong kecemasan tidak boleh digunakan sesuka hati pemandu kenderaan. - Gambar hiasan
Sejumlah 23 pemandu kenderaan yang menggunakan lorong kecemasan di Lebuh Raya Utara Selatan dan menghalang laluan ambulans pada 22 Mei lalu, didakwa di Mahkamah Majistret Alor Gajah pada Isnin.
Daripada jumlah itu, 20 daripada mereka mengaku bersalah selepas kertas pertuduhan dibacakan.
Kesemua mereka didakwa mengikut Kaedah 53 (1) Kaedah Lalu Lintas Jalan Raya 1959 yang dihukum denda maksimum RM2,000 atau penjara enam bulan atau kedua-duanya bagi kesalahan pertama.
Majistret Nor Azizah Yusof menjatuhkan hukuman denda antara RM1,000 hingga RM2,000 kepada 20 tertuduh serta penjara sebulan hingga dua bulan sekiranya gagal membayar denda.
Mengikut pertuduhan, kesemua tertuduh berusia di antara 23 tahun hingga 65 tahun, didakwa memandu di lorong kecemasan di Lebuhraya Utara Selatan PLUS, 22 Mei lalu sekitar jam 5 petang.
Prosiding dikendalikan Pegawai Pendakwa Jabatan Pengangkutan Jalan Melaka, Nur Azmina Jacqueline Abdullah.
Mahkamah mengeluarkan waran tangkap kepada tiga lagi tertuduh yang gagal hadir ke mahkamah pada isnin dan menetapkan 15 Ogos depan sebagai tarikh baru pendakwaan.
Pada 22 Mei lalu, 91 kenderaan menggunakan lorong kecemasan ke arah utara susur keluar plaza tol Simpang Ampat, Alor Gajah Lebuhraya Utara Selatan termasuk tiga kenderaan berdaftar Singapura dipercayai menghalang ambulans untuk memberikan bantuan kecemasan kepada mangsa kemalangan.
#didakwa #didenda #guna lorong kecemasan #hukuman penjara #lorong kecemasan #mahkamah #pemandu didenda
;