Halalkan kanabis perubatan? Sabar dulu - Anwar Ibrahim
Hakim Rahman
Mac 19, 2023 18:56 MYT
Mac 19, 2023 18:56 MYT
KUALA LUMPUR: Kebenaran penggunaan kanabis bagi tujuan perubatan memerlukan penelitian dan perbincangan yang menyeluruh termasuk daripada aspek kawalan penggunaan bahan berkenaan.
Menurut Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, kerajaan perlu mengambil kira jumlah penagih dalam kalangan anak muda termasuk di luar bandar yang semakin meningkat sehingga mencecah ratusan ribu setakat ini.
“Sabar sikit, di Thailand antara yang pengasas 'penghalalan' kanabis terkawal ini TPM (Timbalan Perdana Menteri) dia, itu pun tidak ada konsensus.
"Bukan mudah. Di sini pun kita harus teliti betul-betul. Kena ingat, sebaik sahaja kita halalkan (kanabis) dengan hujah kuat seperti perubatan dan keperluan, itu susah nak kawal (memandangkan) anak muda yang jadi penagih (jumlahnya) ratusan ribu.
"Saya tidak kata saya ada pandangan keras dalam bidang ini. Saya sudah cadang supaya kita buka ruang dan bincang betul-betul implikasinya," katanya ketika menjawab soalan seorang peserta dalam program dialog anak muda Temu Anwar di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur hari ini.
Mengulas lanjut, Anwar berkata, Ketua Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay turut memberi gambaran berkaitan permasalahan serius yang sukar ditangani berhubung isu penyalahgunaan dadah dalam keadaan sekarang.
“Bagi orang yang nak cadangkan atau menolak, mari kita lihat secara keseluruhan dulu implikasi, dan kemudian ambil keputusan sama ada nak halalkan sebahagian, atau terus dengan keadaan sekarang.” katanya.
Sebelum ini Menteri Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Fadillah Yusof memaklumkan kementeriannya sedang melihat potensi perubatan yang ada dalam tanaman kanabis dan ketum.
Beliau yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata pihaknya akan mengadakan perbincangan dengan Kementerian Kesihatan (KKM) untuk melihat kaedah penanaman dan proses penghasilan produk yang terkawal, sekiranya ia dibenarkan untuk ditanam bagi tujuan perubatan di negara ini.