Hala tuju UUM, mahu berada di kedudukan teratas Top Business School
Astro Awani
Januari 30, 2024 20:48 MYT
Januari 30, 2024 20:48 MYT
KUALA LUMPUR: Universiti Utara Malaysia (UUM) menetapkan hala tuju untuk memastikan universiti itu berada di kedudukan teratas bagi Top Business School di negara ini dan mencapai keunggulan global, sekali gus berada di kedudukan tertinggi untuk ranking universiti.
Naib Canselornya, Profesor Mohd Foad Sakdan berkata hala tuju, sasaran dan inisiatif untuk dicapai pada tahun ini dan 2025 bertujuan meneruskan kecemerlangan UUM sebagai universiti pengurusan terkemuka negara.
Ujar beliau, pelan hala tuju tersebut merupakan sebahagian pelan strategik Fasa 3, yang juga peringkat terakhir sebelum memasuki pelan strategik baharu untuk 2026 hingga 2030.
"Untuk memperkukuh keterlihatan UUM di peringkat global, hala tuju kedua ditetapkan adalah memperkasa kerjasama strategik antarabangsa.
"UUM menyasarkan enrolmen baharu 3,000 pelajar antarabangsa tahun ini yang dapat dicapai menerusi pelbagai inisiatif seperti penglibatan dalam pameran, persidangan dan acara perekrutan antarabangsa serta lain-lain," katanya ketika berucap sempena Majlis Amanat Tahun Baharu 2024, di Sintok, Kedah.
Dalam masa sama, beliau berkata bagi memastikan UUM terus relevan untuk tempoh 10 tahun akan datang, hala tuju ketiga digariskan adalah transformasi sistem pengajaran dan pembelajaran supaya lebih sesuai dengan perkembangan teknologi.
Mohd Foad menambah UUM juga menjalin kerjasama dengan 101 institusi pendidikan tinggi di Indonesia dan mekanisme tersebut akan diperluas, bukan sahaja China dan Timur Tengah tetapi hingga ke Pakistan, Libya dan Uzbekistan.
"Hala tuju lain ditetapkan termasuk memantapkan pengurusan kewangan UUM dan memperkukuh pengurusan sumber manusia menerusi strategi baharu.
"Strategi seterusnya adalah membangunkan kapasiti bakat masa depan dan memperkasa mahasiswa menerusi tiga fokus utama iaitu merealitikan Digital Native, keusahawanan pelajar serta khidmat mobiliti mahasiswa, selain menetapkan kebolehpasaran graduan (GE) berada pada tahap 95 peratus," ujar beliau lagi.
Jelas beliau, UUM turut merancang memperkukuh ekosistem digital dan infrastruktur universiti secara menyeluruh serta memberi penekanan terhadap kebajikan warga universiti.
Selain itu, memperkasa penyelidikan, inovasi, penerbitan dan pengkomersilan serta menyediakan geran untuk penyelidik menjayakan objektif ini.