Hala tuju polisi negara perlu jelas untuk kukuhkan nilai ringgit - Penganalisis

Faida Rahim
Julai 3, 2023 11:10 MYT
FIRDAUSI: Apabila berlaku kejatuhan nilai ringgit, kita kena rancakkan ekonomi domestik, terutama eksport, untuk memastikan produktiviti itu lebih kompetitif. - Foto Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Hala tuju polisi negara perlu lebih jelas bagi memastikan ia mampu menyokong prestasi ringgit lebih kukuh berbanding dolar Amerika Syarikat (AS).
Menurut Pensyarah Kanan Politik Ekonomi Universiti Teknologi Mara Sabah Prof Madya Dr Firdausi Suffian, kejatuhan nilai ringgit adalah disebabkan pelbagai faktor luaran dan situasi itu perlu difahami rakyat.
"Jadi, dasar kita itu kena jelas apa yang ingin kita lakukan. Pada suku ketiga ini, difahamkan akan diperkenalkan Pelan Perindustrian Baharu 2023.
"Ini merupakan satu direction (hala tuju) kepada negara, kerana apabila berlakunya kejatuhan ringgit itu, kita kena rancakkan ekonomi domestik, terutama eksport, untuk memastikan produktiviti itu lebih kompetitif.
"Sebab, apabila eksport meningkat, lebih banyak orang membeli ringgit. Secara tidak langsung ia dapat meningkatkan nilai mata wang. Itu amat penting, export promotion," katanya dalam program Fokus Minggu Depan pada Ahad.
Dalam pada itu, Firdausi menegaskan, dasar fiskal termasuk mengurangkan perbelanjaan dan rasionalisasi subsidi yang penting, perlu dilaksanakan apabila berlaku susut nilai mata wang.
"Kita kena kurangkan perbelanjaan apabila berlakunya susut mata wang ringgit ini. Fiskal disiplin itu kena ada. Contohnya, rasionalisasi subsidi, ini juga adalah perkara yang penting," jelasnya.
Tambahnya, dalam masa sama, kemasukan pelabur ke negara ini juga harus dipermudahkan selain mempelbagaikan sektor ekonomi serta mengurangkan kebergantungan import.
Hala tuju polisi negara perlu jelas untuk perkukuh ringgit
#Inflasi #ringgit #susut mata wang #Firdausi Suffian
;