Hakisan di pantai Batu Feringghi semakin membimbangkan

Dewi Nur Harasha Alias
Februari 7, 2022 07:56 MYT
Subbarow berkata, runtuhan tanah yang serius setinggi kira-kira dua meter akibat hakisan dapat dilihat dengan jelas. - Foto Astro AWANI
GEORGE TOWN: Keindahan pesisir pantai Batu Feringghi yang sering menjadi lokasi tumpuan pelancong tatkala berkunjung ke Pulau Pinang kini seolah-olah 'pudar' berikutan hakisan pantai semakin serius sejak tahun lalu.
Hakisan pantai sepanjang kira-kira dua kilometer itu bukan sahaja mencacatkan pemandangan indah di lokasi tersebut bahkan turut mengundang bahaya kepada pengunjung.
Lebih membimbangkan apabila hakisan berlaku di kedudukan tidak jauh daripada beberapa hotel di terkemuka di situ yang sekali gus dibimbangi mengancam keselamatan pelancong dan penginap hotel.
Pegawai Pendidikan Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) NV Subbarow berkata, pihaknya menerima aduan daripada pengunjung yang mendakwa kawasan itu kini tidak lagi selamat untuk aktiviti riadah seperti sebelum ini.
Malah, tindakan pihak tertentu yang meletakkan bongkah batu pelbagai saiz serta tajam bagi mengelak hakisan turut dikhuatiri boleh mendatangkan kecederaan kepada pengunjung.
"Kami dapat aduan daripada penduduk dahulu mereka bersenam di sini, tempat ini bersih tetapi sekarang nak berjalan pun susah sebab ada banyak batu yang tajam.
"Dulu mereka boleh mandi dan berenang, sekarang batu-batu yang mereka letak di sini untuk mengatasi masalah hakisan tanah dan ini adalah satu tindakan yang silap," kata Subbarow.
Lebih parah apabila hakisan yang berlaku turut menyebabkan beberapa kejadian pokok kelapa di sekitarnya tumbang, yang jika tidak diambil tindakan segera, boleh membahayakan nyawa orang ramai.
Katanya, runtuhan tanah yang serius setinggi kira-kira dua meter akibat hakisan dapat dilihat dengan jelas.
Justeru, pihaknya berharap pihak bertanggungjawab khususnya Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan kerajaan negeri memandang serius isu berkenaan dan menjalankan siasatan segera berhubung masalah itu.
Malah pihaknya berharap semua pihak dapat bekerjasama mencari kaedah lebih sesuai bagi mengatasi masalah hakisan yang berlaku.
"Kami harap pihak yang bertanggungjawab dengan serta merta cari cara lain untuk mengatasi masalah hakisan tanah ini.
"Ada 20 batang pokok kelapa yang sudah tumbang. Harap pihak kerajaan dan majlis perbandaran dengan segera cari jalan bersihkan tempat ini dan buang semua batu-batu di jalan ini," katanya lagi.
Subbarow berkata demikian selepas mengadakan tinjauan di pantai Batu Feringghi pada Isnin.
Katanya, tindakan segera perlu diambil bagi memastikan kawasan yang menjadi tumpuan orang ramai termasuk pelancong itu sentiasa selamat untuk dikunjungi.
Awal Januari lalu, sebuah menara tinjau milik Angkatan Pertahanan Awam Malaysia Pulau Pinang setinggi kira-kira 10 meter, tumbang dipercayai berpunca akibat hakisan ombak besar yang berlaku di pesisir pantai itu tersebut.
#Batu Feringghi #pelancong #hakisan pantai #NV Subbarow
;