Hakim tarik diri semakan kehakiman kes Teoh Beng Hock
Sinar Harian
Jun 6, 2023 13:15 MYT
Jun 6, 2023 13:15 MYT
KUALA LUMPUR: Hakim Mahkamah Tinggi di sini, Datuk Amarjeet Singh pada Selasa memaklumkan telah menarik diri daripada mendengar permohonan semakan kehakiman yang difailkan ibu bapa mendiang Teoh Beng Hock.
Ketika pengurusan kes, Amarjeet berkata, pengunduran diri dibuat kerana pernah terlibat dalam Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berkaitan kematian pemuda tersebut.
Sementara itu, Peguam Kanan Persekutuan, Ahmad Hanir Hambaly berkata, kes tersebut adalah membabitkan permohonan ibu bapa mendiang, bagi mendapatkan perintah mahkamah supaya Polis Diraja Malaysia (PDRM) melengkapkan siasatan berhubung kematian anak mereka, 14 tahun lalu.
“Mahkamah kemudiannya menetapkan pengurusan kes seterusnya pada 10 Julai ini di hadapan Hakim, Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh,” katanya selepas dihubungi pemberita.
Turut hadir pada prosiding itu ialah peguam, Sangeet Kaur dan Simranjit Kaur bagi pihak ibu bapa mendiang.
Pada 4 Januari 2022, Teoh Leong Hwee, 75, dan isterinya, Teng Shuw Hoi, 70, memfailkan permohonan semakan kehakiman itu, dengan menamakan Ketua Polis Negara, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah PDRM, PDRM dan kerajaan Malaysia sebagai responden pertama hingga keempat.
Pada 16 Jun tahun sama, pasangan itu memperoleh kebenaran mahkamah untuk memulakan semakan kehakiman.
Pasangan itu memohon deklarasi bahawa kegagalan responden pertama, kedua dan ketiga untuk melengkapkan siasatan berhubung kematian anak mereka dalam jangka masa munasabah telah melanggar Seksyen 20(3) Akta Polis 1967.
Beng Hock ditemukan mati pada 16 Julai 2009 di tingkat lima bangunan Plaza Masalam, Shah Alam selepas memberi keterangan di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di tingkat 14 bangunan sama.
Pada 5 Januari 2011, Mahkamah Koroner Shah Alam memutuskan kematian Beng Hock pada 2009 bukan disebabkan membunuh diri atau dibunuh serta mendapati tiada pihak ketiga terlibat dalam kematiannya.
Pada 21 Julai 2011, Suruhanjaya Siasatan Diraja bagi menyiasat kematian Beng Hock memutuskan bahawa kematiannya akibat membunuh diri.
Pada 5 September 2014, Mahkamah Rayuan menukar keputusan terbuka dalam kes kematian Beng Hock dan memutuskan bahawa kematiannya akibat tindakan menyalahi undang-undang oleh seorang atau beberapa orang yang tidak dikenali. - Sinar Harian