Hakim layak dengar kes Daim - Pendakwaan

Sinar Harian
Ogos 9, 2024 05:15 MYT
Daim tidak hadir ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini (kehadiran dikecualikan), bagi prosiding permohonan kesnya didengar oleh hakim lain. - Gambar fail/BERNAMA
KUALA LUMPUR: Sekiranya Mahkamah Sesyen di sini pada Jumaat menerima permohonan Tun Daim Zainuddin supaya kes tidak mengisytiharkan 70 harta yang dihadapinya, didengar di hadapan hakim lain, ia akan mencerminkan mahkamah tidak boleh berlaku adil atau mampu mengasingkan fakta.
Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin selaku responden menghujahkan demikian ketika prosiding pendengaran permohonan berkenaan di hadapan Hakim, Azura Alwi.
Semasa prosiding, Wan Shaharuddin berkata, mahkamah tidak boleh membenarkan permintaan Daim, 86, kerana ia juga akan menunjukkan mahkamah tidak berkelayakan untuk mendengar kes terbabit.
Menurutnya, hujahan pembelaan bagi pihak bekas Menteri Kewangan itu selaku pemohon, bahawa akan timbul isu berat sebelah juga tidak disokong dengan mana-mana fakta.
“Mereka tidak boleh membuat spekulasi bahawa akan wujud ‘bias’ dalam kes ini, memandangkan kes Daim dengan isterinya, tidak dibicarakan bersama sebaliknya berasingan.
“Apa salahnya, kalau hakim sama mendengar kes ini kerana puan (Hakim Azura) mempunyai kelayakan untuk menilai soal balas selain pembelaan juga akan diberi peluang untuk bertanyakan soalan kepada saksi-saksi kelak,” kata Wan Shaharuddin.
Selain itu beliau berkata, kes Daim adalah berdasarkan keadaan berbeza dengan kes yang dihadapi isterinya, Toh Puan Nai’mah Abdul Khalid, 67.
Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Fadhly Mohd Zamry berkata, hujahan peguam yang mewakili Daim bahawa ada potensi sikap berat sebelah, merupakan satu dakwaan yang serius.
Susulan itu beliau berkata, mahkamah tidak boleh sewenang-wenangnya menerima hujahan terbabit, hanya berdasarkan spekulasi.
Semasa hujahan, peguam, M Puravelan yang mewakili bekas pemimpin kanan UMNO ini berkata, ada potensi sikap berat sebelah yang mungkin timbul jika kes Daim didengar di mahkamah ini.
Beliau berkata, ia akan membawa kepada kewujudan dan penggunaan maklumat luar.
Katanya, mungkin juga berlaku mengaburkan penghakiman yang berkepentingan terhadap kes semasa prosiding dijalankan.
“Persoalan kebolehpercayaan dan kredibiliti yang menimbulkan ketetapan berat dan bukti semasa prosiding perlu diperiksa dan ditangani dalam proses adjudikasi.
“Ini berkemungkinan membawa kesan bertentangan kepada mana-mana pihak,” katanya.
Demi keadilan, beliau memohon kes anak guamnya dipindahkan ke mahkamah lain, bagi mengelakkan sebarang tanggapan terbabit.
Katanya, pemindahan itu juga akan memberikan persepsi awam mengenai keadilan dan kesaksamaan kerana kes-kes tersebut didengar dan ditentukan oleh dua hakim berasingan.
Selepas mendengar hujahan daripada pihak responden dan pemohon, Azura menetapkan 27 Ogos depan untuk keputusan permohonan berkenaan.
Beliau turut menetapkan tarikh yang sama untuk status permohonan Daim dan Na'imah untuk rujuk isu-isu perlembagaan ke Mahkamah Tinggi.
Azura turut mengarahkan Daim hadir pada prosiding itu dan mengemukakan surat makluman kepada mahkamah jika tahap kesihatan tertuduh tidak memuaskan.
Daim, 86, dan Na'imah, 67, masing-masing menghadapi pertuduhan gagal mengisytiharkan 70 harta dan 12 harta manakala kedua-dua kes dijadual dibicarakan di hadapan Hakim Azura.
Pada 29 Januari lalu, Daim atau nama sebenarnya Che Abdul Daim Zainuddin didakwa atas pertuduhan gagal mematuhi notis dengan tidak mengisytiharkan harta termasuk beberapa kenderaan mewah, syarikat dan hartanah di sekitar Kuala Lumpur, Selangor, Pahang, Negeri Sembilan, Perak dan Kedah.
Anak kelahiran Alor Setar, Kedah itu didakwa mengikut Seksyen 36(2) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang membawa hukuman penjara tidak melebihi lima tahun dan didenda maksimum RM100,000, jika sabit kesalahan. - Sinar Harian
#Daim Zainuddin #Wan Shaharuddin Wan Ladin #Rasuah #Nai mah Abdul Khalid