Hakim berang Najib tidak hadir perbicaraan 1MDB
Astro Awani
Ogos 19, 2021 12:20 MYT
Ogos 19, 2021 12:20 MYT
KUALA LUMPUR: Hakim perbicaraan 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Hakim Collin Lawrence Sequerah menegur Datuk Seri Najib Tun Razak kerana gagal hadir untuk perbicaraan 1MDB di Mahkamah Tinggi, di sini, pagi ini.
Ini selepas peguam Najib, Rahmat Hazlan memberitahu hakim bahawa anak guamnya bersama-sama dengan 114 ahli parlimen Barisan Nasional dijadualkan bertemu Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Riayatuddin Al-Mustafa Billah Shah untuk menyuarakan sokongan terhadap Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai calon Perdana Menteri.
"Kam tidak pasti jam berapa anak guam saya dijadualkan menemui Baginda, tetapi dia meninggalkan World Trade Center (WTC) pada 10.30 pagi. Saya diberitahu bahawa dia sekarang dalam pertemuan di sana dalam bila-bila masa, dia boleh dipanggil bertemu Agong kerana ia dilakukan secara satu per satu," kata Rahmat.
Setelah mendengar perkara itu, Hakim Sequerah kelihatan tidak senang dengan ketidakhadiran Najib dan mendesak agar perbicaraan itu diteruskan.
"Dia (Najib) seharusnya mempunyai ihsan untuk datang ke sini terlebih dahulu. Daripada laporan berita yang saya baca, dikatakan bahawa pertemuan dengan Agong akan berlangsung secara bertahap.
"Kes ini sedang berjalan. Saya akan kembali dalam 10 minit dan saya nak tahu dengan tepat pukul berapa dia akan bertemu dengan Baginda. Selepas selesai, dia haris kembali ke sini untuk perbicaraan diteruskan. Saya mungkin tidak akan hentikan perbicaraan pada jam 4 petang hari ini," kata Hakim Sequerah.
Selepas berehat sebentar, Rahmat sekali lagi memberitahu mahkamah bahawa dia akan mengemaskini mengenai keberadaan Najib apabila dia menerima maklum balas daripada pegawai Najib.
Susulan itu, Hakim Sequerah menegur Najib perlu memberikan komitmen pada waktu tertentu kerana perbicaraan perlu diteruskan pada jam 2.30 petang.
"Tolong beritahu saya setiap masa kerana kerana saya berhasrat meneruskannya tidak kira apa yang terjadi. Bersedia untuk masa dilanjutkan kerana kita telah kehilangan banyak masa.
"Kita semua mempunyai tugas yang harus dilakukan, jika Yang di-Pertuan Agong memanggil menghadap, dia perlu berada di sana tetapi apa yang saya faham dia tidak perlu berada di sana sepanjang hari. Saya perlukan komitmen pada jam berapa dia harus berada di sana (Istana) dan memberikan pandangannya kepada Seri Paduka Baginda dan kembali ke sini (untuk perbicaraan)," katanya.
Semalam, Najib telah memohon kepada mahkamah agar sesi pagi perbicaraannya dipendekkan kerana perlu menghadiri mesyuarat penting di WTC pada jam 11 pagi berhubung pencalonan Perdana Menteri.
Hakim Sequerah membenarkan permohonan terakhirnya kerana kepentingan pertemuan itu adalah untuk mencapai penyelesaian mengenai keadaan isu semasa negara pada ketika ini.
"Jadi, hanya kerana itu saya tidak mahu memberikan gambaran bahawa mesyuarat atau perkara lain juga dibenarkan. Hanya mesyuarat ini. Saya boleh bertimbang-rasa untuk membenarkan dia menghadiri mesyuarat ini tetapi kita perlu teruskan perbicaraan pada pukul 2.30 petang," tegas Hakim itu semalam.
Najib, 68, menghadapi empat tuduhan menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan rasuah berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 tuduhan pengubahan wang haram yang melibatkan jumlah yang sama.
Perbicaraan di hadapan Hakim Sequerah bersambung pada jam 2.30 petang.
#1Malaysia Development Berhad
#1MDB
#Barisan Nasional
#ismail sabri yaakob
#Najib Razak
#Parlimen
#Rasuah
#UMNO
#Yang di-Pertuan Agong
#Hakim Collin Lawrence Sequerah