Hakim baharu dengar bicara bela diri kes rasuah Bung Moktar, isteri 9 April 2025
Bernama
Disember 5, 2024 16:15 MYT
Disember 5, 2024 16:15 MYT
KUALA LUMPUR: Mahkamah Sesyen di sini hari ini menetapkan tujuh hari bermula 9 April tahun depan bagi Ahli Parlimen Kinabatangan Datuk Seri Bung Moktar Radin dan isterinya Datin Seri Zizie Izette Abdul Samad, membela diri atas tiga pertuduhan rasuah berjumlah RM2.8 juta.
Hakim Rosli Ahmad menetapkan 9 hingga 11 April, 14 dan 15 April serta 5 dan 6 Mei 2025 untuk perbicaraan kes itu.
"Mahkamah turut menetapkan 21 Jan untuk pengurusan kes," katanya yang turut mengekalkan jaminan RM100,000 dengan seorang penjamin bagi setiap tertuduh serta syarat tambahan, pasport kedua-dua tertuduh diserahkan kepada mahkamah.
Rosli merupakan hakim baharu yang mendengar kes pasangan suami isteri berkenaan, selepas hakim terdahulu Rozina Ayob berpindah ke tempat lain.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya (TPR) Law Chin How memohon supaya mahkamah menetapkan tarikh perbicaraan dan mengekalkan wang jaminan RM100,000 berserta syarat tambahan pasport diserahkan kepada mahkamah.
"Hari ini ditetapkan sebutan kes berhubung keputusan Mahkamah Rayuan pada 18 Nov lepas, yang mengembalikan kes ini ke Mahkamah Sesyen," kata Law yang mengendalikan kes bersama TPR Mohamad Fadly Mohd Zamry dan Maziah Mohaide.
Peguam Datuk Seri K.Kumaraendran, A.Ashok dan Ridha Abdah Subri masing-masing mewakili Bung Moktar dan Zizie Izette memaklumkan, pihak pembelaan akan memanggil antara lima hingga enam saksi pembelaan termasuk suami isteri itu.
Mahkamah Rayuan pada 18 Nov, memerintahkan Bung Moktar dan isterinya Zizie Izette membela diri terhadap tiga pertuduhan rasuah berkenaan, selepas membenarkan rayuan pihak pendakwaan terhadap pembebasan pasangan itu yang diputuskan Mahkamah Tinggi di sini pada 7 Sept 2023.
Pada 2 Sept 2022, Rozina memerintahkan Bung Moktar dan Zizie Izette membela diri atas tiga pertuduhan rasuah itu, selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap mereka di akhir kes pendakwaan.
Bung Moktar, 65, yang ketika itu Pengerusi Bukan Eksekutif Felcra Berhad didakwa pada 3 Mei 2019, dengan dua pertuduhan menerima rasuah RM2.2 juta dan RM262,500 sebagai dorongan untuk mendapatkan kelulusan Felcra melabur RM150 juta dalam unit amanah Public Mutual.
Bung Moktar dituduh menerima rasuah daripada ejen pelaburan Public Mutual Berhad Madhi Abdul Hamid menerusi Zizie Izette, 46, di Public Bank Berhad, Cawangan Taman Melawati di sini antara 12.30 tengah hari hingga 5 petang 12 Jun 2015.
Bung Moktar juga dituduh secara rasuah memperoleh untuk dirinya suatu suapan iaitu wang tunai berjumlah RM337,500 daripada ejen pelaburan Public Mutual Berhad Norhaili Ahmad Mokhtar melalui akaun Public Ittikal Sequel Fund (PITSEQ) yang didaftarkan atas nama Zizie Izette bagi tujuan yang sama.
-- BERNAMA