Hakikatnya khidmat CEP sudah tamat - Jomo
Rahimah Abdullah
Ogos 27, 2018 06:26 MYT
Ogos 27, 2018 06:26 MYT
Prof Dr Jomo Kwame Sundaram berkata khidmat Majlis Penasihat Kerajaan (CEP) sudah tamat selepas berakhirnya 100 hari pentadbiran kerajaan.
Jelas ahli CEP itu, anggotanya akan terus memberi bantuan nasihat kepada kerajaan, namun bukan melalui CEP.
Justeru, katanya, khidmat CEP berakhir selepas 100 hari pentadbiran kerajaan.
Bagaimanapun, beliau berpendapat, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad perlu melantik Tun Daim Zainuddin sebagai penasihat khas kerajaan.
"Dalam pengetahuan saya, tidak. Surat kami jelas menyatakan 100 hari. Tun Dr Mahathir memerlukan bantuan individu seperti Tun Daim. Beliau perlu melantik Tun Daim sebagai wakil khas atau penasihat khas. Kita (ahli CEP) boleh meneruskan (bantuan nasihat) tetapi bukan sebagai CEP."
Jelasnya lagi, CEP telah disalah tafsir oleh banyak pihak dan susulan itu ia perlu dihentikan.
"Banyak sangat kritikan. Tiada sebab untuk jawab semua kritikan, hanya hentikannya dan apabila ada yang mahu CEP melakukan sesuatu untuk Tun Mahathir dan kerajaan, saya rasa semua dalam CEP sedia membantu," kata beliau.
Malah, katanya kerajaan tidak seharusnya terbeban dengan kontroversi melibatkan CEP.
"Namun, CEP itu sendiri sudah menjadi kontroversi dan kerajaan tidak sepatutnya terganggu dengan kontroversi seperti ini. Kontroversi yang tidak diperlukan," ujarnya lagi.
Dr Mahathir sebelum ini berkata, Daim akan kekal sebagai Pengerusi CEP.
Beliau menyatakan tidak pernah memaklumkan bahawa CEP hanya akan berfungsi untuk 100 hari, sebaliknya majlis itu akan terus berfungsi atas keperluan kerajaan.
Selain Jomo dan Daim, CEP turut dianggotai Tan Sri Zeti Akhtar Aziz, Tan Sri Hassan Merican dan Tan Sri Robert Kuok Hock Nien.