ALOR SETAR: Berdasarkan peruntukan yang terkandung di dalam 'hak riparian' yang diguna pakai serta menerima pengiktirafan di peringkat antarabangsa, Pulau Pinang hanya layak menggunakan lima peratus sahaja air daripada sumber dari Sungai Muda.

Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor menyatakan, negeri jiran itu ketika ini telah menggunakan 56 peratus sumber air dari sungai berkenaan berbanding negeri Kedah sendiri, iaitu hanya sekitar 44 peratus.

Ujarnya, penggunaan air dari kawasan tadahan air Ulu Muda itu juga dibuat tanpa melakukan sebarang bayaran kepada kerajaan negeri itu serta Lembaga Sumber Air Negeri Kedah (LSANK).

Tambah beliau, beberapa negeri di negara Australia dan Kanada juga membayar yuran penyelenggaraan kepada negeri yang mempunyai sumber dan kawasan tadahan air seperti kawasan tadahan di Ulu Muda.

Sanusi turut menyatakan bahawa syarikat Tenaga Nasional Berhad (TNB) juga turut membayar caj perkhidmatan kepada setiap negeri yang menyediakan aliran air untuk menggerakkan turbin jana kuasa elektrik mereka.

"Kalau kita mengambil kira pandangan ini, kawasan tadahan bagi Sungai Muda yang dimiliki Pulau Pinang hanya 5 peratus, maka hak penggunaan air di Sungai Muda oleh Pulau Pinang hanya 5 peratus.

"Repairian rights juga adalah tentang sempadan di mana sungai itu lalu, terkeluar daripada repairian right ni apabila tanah atau tempat penggunaan air tu telah terpisah dari sungai tu.

"Contohnya hak riparian mungkin terpakai di Seberang Perai dan sekitar kawasan Sungai Muda mengalir, tetapi tidak terpakai kepada Pulau Pinang, pulau yang dipisahkan oleh laut," jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas Mesyuarat Mingguan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Kedah, di Wisma Darul Aman pada Selasa.

Dalam pada itu, ketika ini kerajaan negeri juga telah menggerakkan usaha termasuk mengenal pasti beberapa kaedah untuk Kerajaan Pulau Pinang menentukan bayaran berkenaan selain perundingan akan dipakukan dengan bantuan kerajaan Pusat sebagai fasilitator.

Katanya, kerajaan negeri juga menerima nasihat daripada satu panel pakar pengurusan sumber dan industri bekalan air di bawah kendalian LSANK.

Tambahnya, panel berkenaan dianggotai mereka yang berkelayakan terdiri daripada bekas ketua pengarah Jabatan Pengaliran dan Saliran (JPS), pemilik firma konsultan air, pensyarah, ahli kimia, sejarawan serta pensyarah universiti tempatan.

Sanusi berkata, penubuhan panel tersebut merupakan bukti keseriusan Kedah membuat tuntutan tersebut dengan beliau sendiri tidak akan berhenti bercakap mengenai caj air berkenaan selagi Pulau Pinang tidak membuat sebarang bayaran.