Hak riparian: Pulau Pinang enggan panjang isu air, pilih pertahan di mahkamah - Ketua Menteri

Dewi Nur Harasha Alias
Mac 10, 2021 19:14 MYT
Kon Yeow berkata, isu air sering dibangkitkan Menteri Besar Kedah dan beliau sendiri sudah menyatakan kesediaannya untuk bersemuka di mahkamah sekiranya kerajaan Kedah mahu mengambil tindakan undang-undang.
GEORGE TOWN: Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow enggan memanjangkan isu penggunaan sumber air dari Sungai Muda, Kedah, sebaliknya, memilih untuk mempertahankan hak riparian negeri itu di mahkamah .
Kon Yeow berkata, isu tersebut sering dibangkitkan Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor sebelum ini dan beliau sendiri sudah menyatakan kesediaannya untuk bersemuka di mahkamah sekiranya kerajaan Kedah mahu mengambil tindakan undang-undang berhubung].
Bagaimanapun, sehingga hari ini tiada perkembangan lanjut dan beliau terkejut apabila isu tersebut dibangkitkan sekali lagi semalam apabila Mohammad Sanusi menyatakan Pulau Pinang hanya layak menggunakan lima peratus sahaja air dari Sungai Muda
Beliau menegaskan, Pulau Pinang tetap dengan pendirian sebagai mana sebelum ini untuk terus menggunakan air Sungai Muda berdasarkan hak riparian yang membenarkan negeri untuk mengambil air dari sumber berkenaan.
“Sempadan air Pulau Pinang dan Kedah adalah betul-betul di tengah Sungai Muda, jadi air yang diambil adalah di bahagian tanah negeri Pulau Pinang selari dengan undang-undang antarabangsa bahawa hak riparian, hak untuk dapat air dari sungai khususnya di sempadan sendiri walaupun sungai itu mungkin mula di hulu dia ada di negeri-negeri lain.
“Itu memang selari undang-undang antarabangsa. Saya tidak ingin memanjangkan isu ini, saya masih tunggu (untuk) pertahankan hak negeri Pulau Pinang di mahkamah,” kata Kon Yeow.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Menteri Besar Kedah yang mendakwa Pulau Pinang hanya layak menggunakan lima peratus sahaja air dari sumber Sungai Muda.
Mohammad Sanusi berkata, Pulau Pinang telah menggunakan 56 peratus sumber air dari Sungai berkenaan berbanding negeri Kedah sendiri iaitu hanya sekitar 44 peratus.
Malah penggunaan itu juga dibuat tanpa melakukan sebarang bayaran kepada kerajaan kedah dan Lembaga Sumber Air Negeri Kedah (LSANK).
BACA: Hak riparian: Pulau Pinang hanya layak guna 5 peratus air Sungai Muda - Sanusi
#hak riparian #air #pulau pinang #Kedah #Sungai Muda #undang-undang antarabangsa #Ketua Menteri #Chow Kon Yeow #Menteri Besar #Muhammad Sanusi Md Nor
;