Hak peneroka asal di Kelantan dinafikan
Astro Awani
Februari 12, 2013 16:15 MYT
Februari 12, 2013 16:15 MYT
Peneroka mendakwa hak mereka dinafikan dalam isu ladang rakyat selain langsung tidak mengetahui keadaan sebenar pembangunan di kawasan tersebut menjadi isu panas di Kelantan.
Rakyat Kelantan berhak mendapat penjelasan secara terperinci berhubung isu pembangunan tanah pertanian di kawasan selatan negeri ini.
Tinjauan Astro Awani mendapati kemelut yang melanda mereka khususnya di kawasan pendalaman sekitar Gua Musang Kuala Krai, Jeli dan Tanah merah.
Menurut Presiden persatuan Orang Muda Bersepadu Anti Korupsi (OMBAK), Wan Khairul Ihsan Wan Muhammad, orang di sekitar Malaysia patut tahu tentang masalah rampasan tanah yang berlaku disini.
“Ini hakikat isu tanah yang sekian hari semakin teruk tanah ini dirampas daripada rakyat Kelantan dan generasi akan datang,” kata Khairul.
Isu tanah yang diberikan pajakan oleh kerajaan Pas Kelantan kepada syarikat bukan bumiputera dan asing untuk ladang rakyat membangkitkan kemarahan penduduk tempatan.
Antara yang menjadi mangsa adalah Mohd Nor Che Awang, peneroka di Paloh 4, Gua Musang yang menyatakan tanah yang diusahakan dirampas begitu sahaja tanpa diberikan apa-apa pampasan.
“Bukan saya seorang sahaja, tanah yang diusahakan 56 peneroka seluas 954 ekar diambih alih perbadanan pembangunan ladang rakyat,” kata Che Awang.
Menurut laporan sebanyak 81095 ribu ekar tanah kerajaan negeri diterokai untuk projek pembangunnan ladang rakyat Kelantan.
Hasil tinjauan mendapati, harapan peneroka hanya satu iaitu supaya hak mereka terbela.