Hak kewarganegaraan: 'Ke mana anak saya nak pergi, apa nasib masa depannya?', soal responden
Fareez Azman
Ogos 5, 2022 15:53 MYT
Ogos 5, 2022 15:53 MYT
KUALA LUMPUR: 'Ke mana anak saya nak pergi dan bagaimana masa depan anak saya?'
Demikian luahan hati seorang ibu, Ravinder Kor yang merupakan responden kes berhubung kelayakan hak kewarganegaraan kanak-kanak yang ditolak Mahkamah Rayuan Putrajaya hari ini.
Menurut Ravinder, dia risau tentang masa depan anaknya yang bakal menduduki Sijil Peperiksaan Malaysia tidak lama lagi.
"Saya hanya mahu bertanya kepada Kerajaan dan pihak berkenaan apa nasib anak saya kelak? Anak saya (datang) ke sini dengan menggunakan visa pelancong untuk 30 hari sahaja.
"Saya sudah memohon untuk SPM tapi anak saya tidak dapat visa. Macam mana anak saya mahu belajar dan menduduki SPM, apa masa depan anak perempuan saya?," soalnya lagi.
Ranvir berkata, dia telah mencuba nasib menemui pegawai Imigresen, namun semuanya menemui jalan buntu.
"Saya nak bawa anak saya ke mana, tolong saya, tolong saya," katanya.
Katanya, nasib anaknya seolah-olah tidak terbela dan dia hanya mahukan jawapan yang pasti untuk memudahkan proses anaknya menduduki SPM.
Sementara itu, Presiden Persatuan Kebajikan Sokongan Keluarga Selangor dan Kuala Lumpur (Family Frontiers), Suriani Kempe turut menegaskan bahawa pihaknya tidak akan berputus asa dalam memperjuangkan nasib kanak-kanak yang tidak mendapat kewarganegaraan selepas ditolak Mahkamah Rayuan Putrajaya, hari ini.
Katanyanya, rayuan akan dibuat di Mahkamah Persekutuan bagi membolehkan kes tersebut diadili oleh panel hakim dan berharap berpihak kepada mereka.
"Keputusan hari ini sangat mengecewakan terhadap kehidupan kanak-kanak yang terus terkesan susulan keputusan hari ini.
"Ini sudah tentu menyedihkan tetapi kami tidak akan berputus asa dan terus berpegang kepada takdir terhadap sistem keadilan di negara ini," jelasnya ketika ditemui Astro AWANI di pekarangan Mahkamah Rayuan Putrajaya di sini, pada Jumaat.
Harapannya agar kanak-kanak yang dilahirkan di luar negara oleh ibu warganegara Malaysia mendapat hak kerakyatan dan keadilan yang sewajarnya.
"Kami teguh berdiri dan percaya satu hari nanti kerajaan akan melihat kaum wanita warganegara Malaysia sama seperti kami melihat diri kami dan setaraf kerakyatan terhadap anak-anak kami yang berhak menjadi warganegara Malaysia seperti yang lain," tambahnya.
Terdahulu, Mahkamah Rayuan dalam keputusan majoriti 2-1 hari ini memutuskan bahawa kanak-kanak yang dilahirkan di luar negara oleh ibu warganegara Malaysia yang berkahwin dengan warga asing tidak berhak mendapat kerakyatan Malaysia dari segi undang-undang
Panel tiga hakim yang diketuai Datuk Kamaludin Md Said membuat keputusan itu selepas membenarkan rayuan kerajaan, Kementerian Dalam Negeri dan ketua pengarah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).
Keputusan majoriti itu dipersetujui oleh Hakim Kamaluddin dan Hakim Datuk Azizah Nawawi manakala Datuk S. Nantha Balan pula menentang.