Hak kewarganegaraan: Berilah keadilan kepada kanak-kanak

Astro Awani
Mac 11, 2024 04:15 MYT
Noor Aziah menjelaskan, pihaknya kurang bersetuju sekiranya anak-anak yang dibuang itu perlu membuat permohonan untuk mendapat kewarganegaraan melalui pendaftaran. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Kerajaan diharap meneruskan hasrat meminda Perkara 14 Perlembagaan Persekutuan dengan menukar perkataan bapa kepada ibu bapa.
Menurut Profesor Undang-undang Keluarga, Wanita dan Kanak-kanak UKM, Prof Datuk Noor Aziah Mohd Awal, perkara itu sekiranya diteruskan dapat memberikan keadilan kepada semua wanita yang bergelar ibu.
Pesuruhjaya Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) itu berkata, pindaan tersebut membolehkan wanita mewariskan kewarganegaraan kepada anak-anak mereka.
Selain itu, Noor Aziah juga berharap kerajaan menangguhkan perkara-perkara yang melibatkan anak angkat atau anak tidak sah taraf demi keadilan kanak-kanak tersebut.
"Kita selalu ingatkan bahawa ia tidak ada kena mengena dengan isu pelarian atau tidak ada dokumen, kita bercakap tentang anak-anak Malaysia yang lahir di Malaysia yang kurang bernasib baik kerana mereka dibuang atau diabaikan," katanya dalam program Agenda AWANI.
Beliau menjelaskan, pihaknya kurang bersetuju sekiranya anak-anak yang dibuang itu perlu membuat permohonan untuk mendapat kewarganegaraan melalui pendaftaran.
Noor Aziah berkata, terdapat banyak kes permohonan melalui pendaftaran untuk kewarganegaraan bagi anak-anak yang dilahirkan di luar negara di mana ibunya warganegara Malaysia berkahwin dengan lelaki warga asing, mengambil masa begitu lama.
"Jadi kita berharap anak-anak ini terus menjadi warganegara melalui undang-undang, kalau jumpa di depan rumah saya, rumah saya di Malaysia bukanlah anak itu turun dari langit, berenang dari laut ke tentulah dia dilahirkan di Malaysia.
"Jadi bawa ke balai polis, bawa ke JKM dan JKM bawa ke Jabatan Pendafaran, letak lah nama bin Abdullah ke.
"Kalau anak itu jumpa di tempat orang Islam letak nama Islam, kalau jumpa tempat bukan Islam, anak itu bukan Islam, jadi berilah warganegara terus, orang akan cepat ambil jadi anak angkat," katanya lagi.
Terdahulu, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution mengulangi komitmennya untuk menyelesaikan pada tahun ini baki 14,000 permohonan kewarganegaraan kategori anak luar nikah, anak angkat atau anak terbiar melebihi umur bayi.
Saifuddin menjelaskan, secara keseluruhan, terdapat 59,000 permohonan dikemukakan di bawah kategori itu sejak 2013.
Beliau bertekad menyelesaikan bakinya di bawah Perkara 15a Perlembagaan Persekutuan sebelum 31 Disember depan.
#Hak kewarganegaraan #Kanak-kanak #Suhakam #Noor Aziah Mohd Awal
;