'Hak imigresen' melarang individu masuk Sarawak
Astro Awani
Ogos 28, 2018 11:04 MYT
Ogos 28, 2018 11:04 MYT
Bukan urusan politik. Ia adalah demi kemakmuran dan keamanan negeri Sarawak.
Itu penegasan Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan Negeri, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah, berhubung tindakan Kerajaan Negeri Sarawak menghalang beberapa individu dari Semenanjung dan Sabah daripada memasuki negeri itu.
Individu yang dimaksudkan termasuk Naib Ketua Pemuda Parti Amanah Nasional, Shazni Munir Mohd Ithnin, Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md Yunos dan blogger Papagomo atau Wan Muhammad Azri Wan Deris.
Tegas Abdul Karim, hak imigresen adalah ‘hak negeri’ yang diperoleh sewaktu Perjanjian Malaysia pada 1963, dan ia kekal tidak kira parti mana yang memerintah negeri Sarawak.
"Kecuali jika hak itu dikeluarkan, dipinda ataupun Kerajaan Negeri Sarawak membatalkan, baru hak itu boleh hilang dengan sendiri. Pada pendapat saya, hak imigresen tersebut perlu dikekalkan sampai bila-bila," katanya.
Katanya, memang ada banyak pihak yang menulis kepada Kerajaan Negeri agar status mereka disemak semula, malah tidak kurang yang tidak berpuas hati.
"Kerajaan Sarawak bukannya mengambil keputusan sebarangan untuk menyekat sesiapa masuk ke negeri ini. You must come from a list. Ada senarai yang diberikan (kepada pihak berkuasa) bersama sebab-sebab tertentu seseorang individu itu ditegah masuk.
"Mungkin disebabkan ucapan individu itu dahulu atau mungkin individu itu terlibat dalam kes-kes tertentu," kata Abdul Karim ketika ditemui di sidang media penganjuran Miss Malaysia World 2018 yang akan berlangsung di Kuching bulan depan.
Untuk rekod, sejak era bekas ketua menteri Sarawak, Tan Sri Adenan Satem, Sarawak telah melaksanakan peraturan ketat untuk menghalang pemimpin politik yang lantang untuk memasuki negeri itu.
Difahamkan, ia bertujuan untuk mengelakkan risiko perpecahan selain gugatan kepada keharmonian penduduk pelbagai kaum di negeri tersebut.
Antara yang pernah dihalang masuk Sarawak termasuk pendakwah terkenal, Ahmad Deedat.