Hak guru enggan divaksin? KPM juga ada hak pastikan keselamatan pelajar - Radzi

Madiha Abdullah
September 24, 2021 23:30 MYT
Radzi berkata kerajaan sedang mencari pendekatan serta tindakan tegas yang boelh diambil bagi menangani situasi ini. - Gambar fail/ Bernama
KUALA LUMPUR: Golongan guru harus memahami konteks perkhidmatan mereka yang berbeza dengan pekerjaan lain, sekali gus memerlukan mereka meletakkan kepentingan pelajar sebagai keutamaan.
Justeru, Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Radzi Jidin berkata, kerajaan sedang mencari pendekatan serta tindakan tegas bagi menangani isu guru yang enggan menerima vaksin.
"Kalau guru ada hak untuk tidak divaksin, kerajaan juga ada hak untuk memastikan anak-anak yang hadir ke sekolah nanti berada dalam keadaan selamat.
"Memang jumlah yang tidak mahu divaksin tidak ramai, tetapi kami dapat laporan ada kumpulan guru yang mengajar subjek sama, enggan divaksin.
"Kalau begini susahlah, siapa yang akan mengajar dan ini akan menyebabkan sesi pembelajaran terjejas.
"Kita sudah ambil langkah untuk tidak benarkan guru yang tidak divaksin mengajar secara bersemuka, tetapi dalam situasi macam ini, bagaimana pula?
"Sebab itu kena ada pendekatan lain dalam konteks perkhidmatan guru kerana kita tidak mahu pembelajaran terganggu," katanya ketika muncul dalam Agenda AWANI, malam ini.
Kementerian Pendidikan katanya, sedang meneliti tindakan yang boleh diambil dalam aspek pengoperasian sekolah, namun dalam masa yang sama, guru-guru terbabit juga tertakluk kepada tindakan di bawah Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).
"Kita sudah beri masa yang panjang untuk mereka ambil vaksin. Nasihat dan kauseling juga sudah diberi.
"Jika terpaksa... mungkin kita terpaksa membuat pertukaran bagi memastikan proses pengajaran dan pembelajaran berjalan lancar," tambahnya.
Media sebelum ini melaporkan kira-kira 2,500 daripada keseluruhan 400,000 guru di seluruh negara, enggan menerima vaksin.
#vaksinasi #guru #Radzi Jidin #tindakan tegas
;