Hajiji ucap takziah kepada keluarga Rahimah Stephens

Eleanor Michelle Patrick
Mac 14, 2022 12:53 MYT
Toh Puan Rahimah Stephens meninggal dunia pada usia 91 tahun akibat serangan jantung. - Gambar fail
KOTA KINABALU: Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga Toh Puan Rahimah Stephens di atas pemergian Allahyarham awal pagi ini.
Dalam catatan di Facebooknya, Hajiji turut berharap agar seluruh ahli keluarga Allahyarham tabah menghadapi ujian itu.
“Saya baru mendapat perkhabaran dukacita bahawa Y.A.Bhg. Toh Puan Hjh Rahimah Stephens, isteri kepada Ketua Menteri Sabah yang pertama, Allahyarham Tun Datuk Hj Mohammad Fuad Stephens telah pergi menghadap ilahi.
“Marilah kita sama-sama panjatkan doa agar roh Allahyarham dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang-orang yang beriman,” katanya.
Rahimah dilaporkan meninggal dunia pada usia 91 tahun akibat serangan jantung ketika menunggu rawatan di sebuah hospital swasta di Kota Kinabalu selepas dikatakan terjatuh hujung minggu lalu.
BACA: Rahimah Stephens meninggal dunia akibat serangan jantung
Sementara itu, Astro AWANI sedang cuba mendapatkan ahli keluarga Allahyarham untuk perkembangan terkini
Rahimah dilahirkan pada 22 Oktober 1930 di Beaufort, Sabah dan pernah menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kawasan Kiulu, Tuaran, Sabah.
Pada tahun 2011, beliau dinobatkan sebagai "Tokoh Mubarak 2011" sempena Perhimpunan Agung Tahunan Majlis Bekas Wakil Rakyat (Mubarak) Ke-8 di Kota Kinabalu.
Pada 1961, beliau menjadi Ketua Wanita Parti UNKO (kemudian ditukar nama kepada UPKO) yang ditubuhkan oleh suaminya.
Rahimah kemudian menjadi Ketua Wanita Parti Berjaya dan wakil rakyat Kiulu setelah menang dalam pilihan raya kecil Sabah.
Pada 17 Julai 1976, beliau dilantik sebagai Menteri Kebajikan dalam Kerajaan Negeri Sabah.
#Toh Puan Rahimah Stephens #Datuk Seri Hajiji Noo #Tun Datuk Hj Mohammad Fuad Stephen #Sabah
;