Hajiji terima suntikan dos kedua vaksin COVID-19
Astro Awani
Mac 25, 2021 12:41 MYT
Mac 25, 2021 12:41 MYT
KOTA KINABALU: Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor hari ini menerima suntikan dos kedua vaksin COVID-19 jenis Pfizer-BioNTech di Dewan Serbaguna, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan (PPKP) Sabah.
Beliau tiba di PPKP kira-kira jam 8.50 pagi sebelum mendaftar diri dan ditemu bual petugas kesihatan.
Hajiji kemudian ke stesen kaunseling dan persetujuan imunisasi sebelum ke bilik pemberian vaksin COVID-19 kira-kira pukul 8.56 pagi untuk terima suntikan dos kedua.
Setelah selesai dipantau lebih 20 minit, beliau kemudian beredar dari pusat itu.
Hajiji dalam satu kenyataan berharap rakyat Sabah supaya mendaftar sebagai penerima vaksin menerusi aplikasi MySejahtera atau berhubung dengan Pejabat Daerah masing-masing.
Katanya, Kerajaan juga giat melakukan kempen ke kampung-kampung di seluruh Sabah bagi memberi penerangan mengenai pengambilan vaksin.
"Mungkin di Sabah agak lambat sikit kerana ramai rakyat kita yang tinggal di luar bandar dan jauh di pedalaman. Saya yakin mereka juga peka dan mempunyai kesedaran tinggi untuk mendapat suntikan vaksin sebagai imuniti terhadap jangkitan COVID-19," katanya.
#Hajiji Noor
#Hajiji vaksin kedua
#Ketua Menteri Sabah
#vaksin COVID-19
#petugas kesihatan
#Sabah
#pedalaman