Hajiji pengerusikan mesyuarat kabinet pertama selepas rombakan Jemaah Menteri
Astro Awani
Januari 18, 2023 12:39 MYT
Januari 18, 2023 12:39 MYT
KOTA KINABALU: Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor hari ini mempengerusikan mesyuarat Kabinet Negeri pertama di Menara Kinabalu di sini pada Rabu selepas rombakan kabinet minggu lalu.
Dalam mesyuarat itu, turut kelihatan tiga menteri baharu iaitu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Datuk Christina Liew; Phoong Jin Zhe (Menteri Pembangunan Perindustrian) dan Datuk James Ratib (Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat).
Turut hadir Timbalan Ketua Menteri III, Datuk Shahelmey Yahya yang turut memegang portfolio Menteri Kerja Raya.
Sementara itu, Menteri Kewangan Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun ketika dihubungi Astro AWANI memaklumkan, ia merupakan mesyuarat kabinet biasa.
Bagaimanapun, Ketua Menteri meminta semua menteri memberi tumpuan kepada tugas masing-masing untuk memastikan prestasi dan perkhidmatan semua kementerian serta agensi dapat dipertingkatkan.
"(Intipati) hanya mesyuarat biasa. (Cuma) KM minta semua menteri tumpukan kepada tugas masing-masing untuk pastikan prestasi dan perkhidmatan semua kementerian dan agensi dapat dipertingkatkan," katanya ringkas.
Selain itu, Hajiji turut mengalu-alukan kehadiran Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Jahid Jahim yang bercuti sakit sejak tahun lalu.
Turut hadir pada mesyuarat pertama kabinet negeri baharu itu ialah Timbalan Ketua Menteri I yang juga Menteri Pertanian dan Perikanan, Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan; Timbalan Ketua Menteri II (Kerajaan Tempatan dan Perumahan), Datuk Seri Joachim Gunsalam, Datuk Arifin Arif
Hadir sama, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Mohd Arifin Arif dan Menteri Belia dan Sukan Datuk Ellron Angin serta Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Safar Untong.