Haji tajaan 1MDB tak mabrur? PM Najib berterima kasih Harussani bidas Tun Mahathir

Harits Asyraf Hasnan
Februari 2, 2018 16:13 MYT
Perdana Menteri menegaskan rezeki dan pahala bukannya ditentukan oleh manusia sebaliknya ditentukan oleh Allah. - Foto Astro AWANI / SHAHIR OMAR
Datuk Seri Najib Tun Razak berterima kasih kepada Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria yang membidas kenyataan Tun Dr Mahathir Mohamad.
Ia susulan kenyataan Dr Mahathir yang menyifatkan ibadat haji yang dilaksanakan di bawah Program Khas Haji Perdana Menteri-Yayasan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) tidak mendapat haji mabrur.
Perdana Menteri menegaskan rezeki dan pahala bukannya ditentukan oleh manusia sebaliknya ditentukan oleh Allah.
"Saya terima kasih kepada Mufti Perak, Tan Sri Harussani buat kenyataan: 'Manusia jangan ambil, ini kuasa mutlak Allah. Kuasa mutlak Allah (menentukan pahala), manusia tiada hak'.
"Apatah lagi manusia yang bukan ilmu dia. Janganlah, ini kuasa Allah. Allah tentukan rezeki kita, pahala kita. Jangan manusia nak ambil alih.
"Jangan politikkan. Tuan-tuan ini pejuang agama, bangsa dan negara, sebab itu kita buat program ini," ujarnya dihadapan 1,200 penerima surat tawaran program haji Perdana Menteri tajaan Yayasan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) di Masjid Putra di sini hari ini.
Pada Januari tahun lalu, Dr. Mahathir menyifatkan orang yang melaksanakan ibadah haji melalui Program Khas Haji Perdana Menteri-Yayasan 1MDB tidak mendapat haji yang mabrur.
Katanya, haji yang tidak mabrur itu berpunca daripada duit penajaan program tersebut kononnya haram kerana dicuri oleh Najib.
#1Malaysia Development Berhad #1MDB #haji 1MDB #haji tak mabrur #haram #Mahathir Mohamad #Najib Razak
;