Haji: Petugas media main peranan penting tangkis berita tidak benar

Bernama
Mei 19, 2024 09:00 MYT
Pada tahun ini, katanya terdapat sedikit kelainan dalam liputan apabila media turut menyiarkan berita menerusi pelbagai medium seperti media sosial, media cetak, televisyen dan radio. - Foto fail/BERNAMA
MEKAH: Ketua Rombongan Haji 1445H/2024 Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman berkata petugas media yang membuat liputan haji musim ini memainkan peranan penting dalam memberikan informasi terkini supaya dapat menangkis maklumat tidak tepat dan mengelirukan.
Syed Saleh berkata perkara itu perlu bagi memberi gambaran sebenar apa yang berlaku di Tanah Suci kepada rakyat Malaysia sekali gus mengelak sebarang kerisauan khususnya ahli keluarga jemaah haji yang berada di tanah air.
"Alhamdulillah saya telah meninjau Bilik Operasi Media dan melihat kerja-kerja harian pasukan media yang dibawa oleh Tabung Haji. Sehingga kini, mereka memberi pelbagai informasi yang tepat dan informasi ini juga penting kepada bakal-bakal haji untuk memahami proses dan suasana yang akan dilalui nanti, " katanya.
Beliau berkata demikian kepada petugas media selepas mengadakan lawatan di Bilik Operasi Media di Ibu Pejabat Lembaga Tabung Haji (TH) di Hotel Abraj Al Janadiriyah di sini.
Turut hadir, Timbalan Ketua Rombongan Haji Kebajikan Mohamed Heikal Mohamed Yusuff dan Pengurus Besar Hal Ehwal Awam dan Komunikasi Korporat Kumpulan Ahmad Shahriman Johari.
Pada tahun ini, katanya terdapat sedikit kelainan dalam liputan apabila media turut menyiarkan berita menerusi pelbagai medium seperti media sosial, media cetak, televisyen dan radio.
"Setiap tahun, kita akan teliti keberkesanan saluran media dan penerimaan penonton tentang berita yang disampaikan dan kita akan beri peluang kepada lebih banyak syarikat media, Insha-Allah," katanya.
Sebanyak 14 petugas media daripada pelbagai agensi antaranya Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama), RTM, NSTP, Media Mulia, Astro Awani, Sinar Harian, TV Al-Hijrah, dan TV Sarawak membuat liputan untuk musim haji tahun ini.
-- BERNAMA
#petugas media #informasi terkini #Syed Saleh Syed Abdul Rahman #Tanah Suci
;