Hajat beraya terbantut, kereta terbakar di tengah jalan
Muhafandi Muhamad
Jun 7, 2019 18:01 MYT
Jun 7, 2019 18:01 MYT
Hajat sebuah keluarga yang ingin menziarah keluarga di Baling, Kedah sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri terbantut selepas kenderaan pelbagai guna (MPV) yang mereka naiki tiba-tiba terbakar di Kilometer 13, Lebuhraya Gerik-Jeli di sini, sekitar jam 2.20 petang tadi.
Kesemua lapan penumpang serta pemandu kenderaan berkenaan bagaimanapun sempat menyelamatkan diri.
Pemandu MPV berkenaan, Mohd Azwan Yusuf, 37 tahun, memaklumkan kenderaan yang dipandunya terbakar secara tiba-tiba.
Kebakaran dipercayai bermula di bahagian belakang.
Namun mereka tidak sempat menyelamat beg, telefon bimbit dan barangan lain yang berada dalam MPV tersebut.
Sementara itu, Ketua Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Jeli, Azman Sulaiman berkata, setibanya di tempat kejadian, pihaknya mendapati MPV berkenaan sudah lebih 70 peratus terbakar.
Operasi pemadaman dilakukan namun MPV berkenaan sudah hangus sepenuhnya.
Punca kejadian masih dalam siasatan.