Haiwan terlindung antara mangsa kebakaran hutan di Miri

Astro Awani
September 3, 2019 17:12 MYT
Selain kucing hutan, beberapa spesies mamalia, reptilia, amfibia dan burung turut menjadi mangsa kebakaran itu yang berlaku sejak beberapa minggu yang lalu.
Bangkai kucing hutan adalah antara spesies haiwan terlindung yang dijumpai ketika operasi pemadaman sisa kebakaran di hutan berhampiran Institut Latihan Perindustrian (ILP) Miri pagi Selasa.
Turut dikenali sebagai leopard cat atau nama saintifiknya Prionailurus bengalensis, ia adalah sejenis kucing liar bersaiz kecil yang hanya ditemui di Asia Tenggara, Asia Selatan dan Asia Timur.
Sejak tahun 2002, kucing hutan itu sudah dalam Senarai Merah Kesatuan Antarabangsa Mengenai Pemuliharaan Semula Jadi (IUCN) kerana berdepan krisis kehilangan habitat dan juga diburu.
Selain haiwan tersebut, beberapa spesies mamalia, reptilia, amfibia dan burung lain turut menjadi mangsa kebakaran itu berlanjutan sejak beberapa minggu yang lalu.
Menurut Ketua Jabatan Bomba dan Penyelamat zon Miri, Law Poh Kiong, pihaknya telah memaklumkan perkara itu kepada Perbadanan Perhutanan Sarawak (SFC) untuk siasatan lanjut.
Tambah beliau lagi, pihak yang terlibat dalam operasi pemadaman itu termasuklah anggotanya serta pasukan bomba sukarela dari Pemaju Tanah dan Naim Cendera Sdn. Bhd.
Kebakaran yang berlaku itu turut mengakibatkan kualiti udara di Miri terjejas sehingga indeks mencapai paras sangat tidak sihat.
#Astro #AstroAWANI #AWANISarawak #ILP #Kebakaran Kuala Baram #Kucing Hutan #Leopard Cat #Miri
;