Hadkan tempoh jawatan Ketua Menteri diusul sebagai enakmen - Adly Zahari

Bernama
Julai 19, 2018 06:42 MYT
Adly (kiri) memakaikan jubah kepada Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka yang baharu Omar Jaafar pada Persidangan Pertama Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri Ke-14, 19 Julai, 2018. --fotoBERNAMA
Kerajaan Negeri akan membawa usul bagi mencadangkan tempoh jawatan Ketua Menteri Melaka dihadkan sehingga dua penggal sebagai satu enakmen, pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka.
Ketua Menteri Adly Zahari berkata pihaknya kini dalam proses untuk memuktamadkan perincian cadangan serta enakmen berkenaan dan berharap usul itu dapat dibawa ke Persidangan DUN Melaka pada sekitar bulan depan.
"Yang penting sebaik mungkin kita usahakan (cadang hadkan Ketua Menteri dua penggal) sebagai enakmen, kalau sempat bulan Ogos kalau tak sempat persidangan akan datang.
"Apa yang penting enakmen itu kita kuatkuasakan, bila itu tidak menjadi suatu masalah bagi kita," katanya pada sidang media di luar Persidangan Dewan Undangan Negeri Melaka di sini pada Khamis.
Adly berkata apabila cadangan itu dijadikan satu enakmen, maka ia akan termaktub kepada jawatan Ketua Menteri Melaka itu sendiri dan terpakai kepada sesiapa sahaja yang akan menjadi Ketua Menteri Melaka pada masa akan datang.
"Enakmen ini termaktub kepada jawatan Ketua Menteri dan bukan individu, jadi enakmen ini juga akan terpakai kepada mana-mana (parti yang menjadi) Kerajaan Negeri Melaka pada masa akan datang," katanya.
Adly berkata Kerajaan Negeri juga berharap dapat membawa usul mencadangkan penubuhan Jawatankuasa Kompetensi, Akauntabiliti dan Ketelusan Melaka (MELCAT) pada Persidangan DUN Melaka bulan depan.
"Sememangnya kita ada beberapa usul lain yang akan kita bawa yang mana pada masa ini kita sedang memperkemaskan, kita akan beri makluman apabila kita memuktamadkan semuanya," katanya.
Pada 3 Jun lepas, Adly dilaporkan berkata, mengehadkan tempoh jawatan Ketua Menteri selama dua penggal dan MELCAT, merupakan dua inisiatif utama akan dilaksana Kerajaan Negeri bagi tadbir urus cekap serta menunaikan tanggungjawab berkesan demi kesejahteraan rakyat.
-- BERNAMA
#Adly Zahari #Dewan Undangan Negeri #enakmen #jawatan #Ketua Menteri #Melaka #MELCAT #sidang dun #tempoh #usul
;