Hadirin sidang DUN Perlis perlu jalani saringan kesihatan
Bernama
Mei 18, 2020 15:33 MYT
Mei 18, 2020 15:33 MYT
Hadirin pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis ke-14 pada 20 hingga 21 Mei ini perlu menjalani saringan kesihatan oleh petugas Jabatan Kesihatan Perlis sebelum memasuki dewan.
Speaker DUN Perlis Datuk Hamdan Bahari berkata langkah pencegahan itu diambil bagi mengekang penularan jangkitan COVID-19 selaras dengan prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).
"Pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Negeri Perlis akan menjalankan prosedur sanitasi ke atas permukaan kritikal seperti kerusi, meja, pintu dan lain-lain di dalam dewan sebagai langkah pencegahan.
"Tempat duduk di dalam dewan akan dijarakkan dan semua hadirin perlu mengamalkan penjarakan sosial sepanjang persidangan," katanya ketika dihubungi Bernama di sini, hari ini.
Beliau berkata semua hadirin juga digalakkan memakai pelitup separuh muka dan mencuci tangan menggunakan pensanitasi tangan serta datang awal bagi menjalani prosedur saringan kesihatan yang akan bermula pada 9 pagi.
- BERNAMA
#ADUN
#COVID-19
#hadirin
#jalani pemeriksaan
#kesihatan
#pengunjung
#Perlis
#saringan
#sidang dun
#Speaker