Hadir sidang Parlimen: Permohonan Najib cabar keputusan Jabatan Penjara didengar 11 Ogos
Bernama
Februari 20, 2023 19:00 MYT
Februari 20, 2023 19:00 MYT
PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan menetapkan 11 Ogos untuk mendengar rayuan Datuk Seri Najib Tun Razak bagi mendapatkan kebenaran memulakan prosiding mencabar keputusan Jabatan Penjara yang menolak permohonannya untuk menghadiri persidangan Dewan Rakyat.
Peguam Persekutuan Ng Wee Li mengesahkan tarikh itu ketika dihubungi Bernama.
Prosiding pengurusan kes bagi rayuan itu dijalankan hari ini di hadapan Timbalan Pendaftar Mahkamah Rayuan Norshakinah Ahmad Kamarudin.
Pada 27 Okt 2022, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak permohonan bekas Perdana Menteri itu untuk kebenaran memulakan semakan kehakiman bagi mencabar keputusan Jabatan Penjara.
Hakim Datuk Ahmad Kamal Md Shahid memutuskan bahawa permohonan Najib bersifat akademik susulan pembubaran Parlimen pada 10 Okt 2022 untuk membuka laluan kepada Pilihan Raya Umum ke-15 yang berlangsung pada 19 Nov tahun lepas.
Hakim itu berkata melainkan dan sehingga pengampunan diberikan kepada Najib atau sabitannya dibatalkan selepas semakan kehakiman, tiada kemungkinan beliau akan menjadi Ahli Parlimen semula sambil menambah bahawa undang-undang melarang mana-mana orang yang telah disabitkan daripada bertanding dalam pilihan raya.
Najib telah menamakan Kerajaan Malaysia, Menteri Dalam Negeri dan Komisioner Jeneral Penjara sebagai responden dalam permohonan yang difailkan pada 5 Okt tahun lepas.
Najib memohon perintah certiorari bagi membatalkan keputusan Komisioner Jeneral Penjara yang tidak memberikan beliau akses kepada pegawai/pembantunya bagi tujuan kerja-kerja Parlimen, perundangan dan konstituen.
Beliau sedang menjalani hukuman penjara 12 tahun di Penjara Kajang selepas Mahkamah Persekutuan pada 23 Ogos 2022 mengekalkan sabitan serta hukuman penjara dan denda RM210 juta terhadapnya yang didapati bersalah atas pertuduhan menyeleweng dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta.
-- BERNAMA